Ringgit melonjak ke paras tertinggi sejak awal Mac 2021

Pada 6 petang, mata wang tempatan melonjak ke paras 4.0615/0665 berbanding dolar AS, daripada paras penutup 4.0770/0800 pada Isnin. Pada 5 Mac, 2021, ringgit mencecah paras tertinggi 4.0747. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ringgit mencecah paras 4.0615 hari ini berbanding dolar AS, paras tertingginya sejak awal Mac 2021, apabila jangkaan penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) terus memberi tekanan terhadap dolar AS.
Ringkasan AI
- Ringgit mencapai paras tertinggi sejak Mac 2021, berada pada 4.0615 berbanding dolar AS hari ini, dipengaruhi oleh jangkaan penurunan kadar faedah AS yang melemahkan dolar AS.
- Kenaikan nilai ringgit disokong oleh keyakinan peniaga pertukaran asing terhadap mata wang tempatan, dengan peringkat RM4.00 menjadi rintangan seterusnya yang perlu diatasi.
- Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid dari Bank Muamalat Malaysia Bhd menyatakan bahawa kelemahan Dolar AS dan jangkaan penurunan kadar faedah AS memberi tekanan positif kepada ringgit, sementara data ekonomi AS yang lemah boleh mengukuhkan lagi jangkaan penurunan kadar faedah pada masa akan datang.
"Jelas sekali, peniaga pertukaran asing yakin terhadap ringgit dalam tempoh terdekat ini, dan RM4.00 nampaknya menjadi halangan seterusnya (yang perlu dilepasi).
"Purata jangka panjang USD-MYR daripada tempoh pemansuhan tambatan ringgit pada 2005 hingga sekarang adalah kira-kira RM3.82. Oleh itu, ruang untuk peningkatan nilai selanjutnya kelihatan jelas," katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.35 peratus kepada 97.938 mata.
Mengenai data keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS bagi suku ketiga 2025 yang dijadual dikeluarkan lewat hari ini, beliau berkata sekiranya data itu lebih lemah daripada yang dijangkakan, ia akan mengukuhkan jangkaan penurunan kadar faedah pada masa hadapan.
"Semalam Gabenor Rizab Persekutuan AS Stephen Miran menyatakan tentang kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi di negara itu, justeru terdapat keperluan untuk mengurangkan kadar faedah.
"Naratif penurunan kadar faedah nampaknya semakin mendapat perhatian. Oleh itu, hasil KDNK AS bagi Suku Ketiga 2025 yang lebih lemah berkemungkinan akan memberi rangsangan kepada sentimen pasaran, terutamanya terhadap mata wang pasaran negara sedang pesat membangun," katanya.
Pada penutup dagangan ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan menyusut berbanding euro kepada 4.7901/7960 daripada 4.7827/7862 pada Isnin, turun berbanding pound British kepada 5.4851/4918 daripada 5.4750/4790, dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 2.6039/6072 daripada 2.5896/5916.
Bagaimanapun ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Mata wang tempatan mengukuh berbanding baht Thai kepada 13.0486/0705 daripada 13.0740/0895 pada Isnin, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 241.9/242.3 daripada 242.9/243.3 sebelumnya, dan naik berbanding peso Filipina kepada 6.90/6.91 daripada 6.94/6.95. Namun begitu ringgit lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.1607/1648 daripada 3.1592/1618.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


