BISNES

Ringgit meningkat kepada paras tertinggi baharu dalam 14 bulan susulan dolar AS lemah

Bernama 03/12/2025 | 13:30 MYT
Pada 6 petang, ringgit mengukuh kepada 4.1200/1235 berbanding dolar AS daripada 4.1275/1330 semasa ditutup pada Selasa. - Foto hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ringgit melonjak ke paras tertinggi baharu dalam tempoh 14 bulan berbanding dolar AS pada Rabu, mencapai 4.1200 ketika ditutup hari ini berikutan jangkaan berterusan terhadap penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) minggu depan, yang memberi tekanan ke atas dolar.

Pada 6 petang, ringgit mengukuh kepada 4.1200/1235 berbanding dolar AS daripada 4.1275/1330 semasa ditutup pada Selasa.

Mata wang tempatan itu melebihi paras tertinggi yang direkodkan pada 30 Sept 2024, apabila ditutup kepada 4.1210 berbanding dolar AS.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata jangkaan penurunan kadar faedah oleh Fed minggu depan telah mengukuhkan ringgit memandangkan keputusan itu akan merapatkan jurang perbezaan kadar antara kadar dana Fed dan kadar dasar semalaman Malaysia.

"Berdasarkan kontrak niaga hadapan kadar faedah, kebarangkalian kepada penurunan kadar faedah (AS) minggu depan telah meningkat kepada lebih 90 peratus pada masa ini," katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama.

Ia susut berbanding pound Britain kepada 5.4697/4744 daripada 5.4524/4597 semasa ditutup pada Selasa, rendah berbanding euro kepada 4.7982/8022 daripada 4.7920/7984, dan menyusut berbanding yen Jepun kepada 2.6476/6501 daripada 2.6463/6500.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1810/1839 daripada 3.1816/1861 semasa ditutup pada Selasa, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 247.7/248.1 daripada 248.2/248.7 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 6.99/7.00 daripada 7.05/7.06 semalam.

Bagaimanapun, ringgit menyusut berbanding baht Thailand kepada 12.9024/9186 daripada 12.8928/9164 sebelum ini.

-- BERNAMA

#ringgit #meningkat #dolar AS #mata wang tempatan