KUALA LUMPUR: Nilai ringgit yang menyusut ke paras terendah dalam tempoh 24 tahun tidak hanya memberikan kesan negatif, sebaliknya kesan positif dalam beberapa sektor dapat dirasai.

Ketua Penyelidikan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Shankaran Nambiar berkata, antaranya sektor berorientasikan eksport yang lebih berdaya saing.

"Saya fikir mana-mana sektor yang berorientasikan eksport akan mendapat manfaat. Dengan ringgit yang semakin lemah, saya fikir ia akan menjadikan eksport kita berdaya saing dan itu merupakan satu perkara yang baik.

Bagaimanapun beliau berkata, kelemahan ringgit boleh mewujudkan situasi inflasi diimport memandangkan negara masih bergantung kepada import bahan mentah.

"Walau bagaimanapun, sudah tentu terdapat persoalan tentang inflasi yang diimport dan ia juga memberi kesan kepada pengeluar.

"Saya fikir mereka sudah mula merasakan kesan import yang lebih mahal dalam import berasaskan peralatan dan jentera," ujarnya sewaktu wawancara eksklusif bersama program Niaga AWANI.

Niaga AWANI: Prestasi ringgit jika dibandingkan dengan dolar AS

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kenaikan bayaran yang akan ditanggung pengeluar melibatkan kos kelengkapan yang diimport kerana kebiasaannya ia melibatkan tempoh masa bayaran yang panjang.

Pada masa yang sama, Nambiar menegaskan tiada keperluan untuk menambat ringgit kepada dolar AS berikutan negara tidak berada dalam situasi kritikal.

Malah, jika dilaksanakan ia hanya akan menjejaskan lagi sektor kewangan dan ekonomi negara.

"Saya tidak fikir kita berada dalam tahap krisis di mana kita perlu mengambil beberapa langkah seperti menambat ringgit. Saya fikir keadaannya sangat berbeza kerana kita lihat bukan hanya Malaysia sahaja yang terjejas," katanya.

Selain itu, beliau berkata tindakan menambat ringgit hanya akan menimbulkan sentimen negatif dalam pasaran.