KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat semula berbanding dolar AS dalam dagangan awal pada Isnin berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu merosot tetapi kekal disokong dengan jangkaan Rizab Persekutuan akan terus mengekalkan pendirian dasar monetarinya yang ketat.

Pada 9 pagi, ringgit naik kepada 4.7725/7775 berbanding dolar AS daripada 4.7750/7795 pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangka ringgit akan kekal stabil pada sekitar RM4.77 hari ini dengan sentimen masih lemah.

Beliau berkata beberapa pegawai Fed pada minggu lepas telah menyatakan kebimbangan mereka mengenai penurunan awal berikutan kadar inflasi yang meningkat.

"Dolar AS dilihat berada pada kedudukan yang baik berdasarkan ekonomi AS yang kukuh walaupun perlu berdepan dengan kadar yang tinggi.

"Ini telah menjadikannya menyerlah daripada kumpulan G7 yang lain, menyebabkan permintaan yang tinggi terhadap dolar AS. Ia agak rumit berikutan kesan daripada langkah dasar monetari yang lepas akan mengambil masa untuk memberi impak yang ketara," katanya.

Dalam negara, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan naik berbanding pound kepada 6.0425/0488 daripada 6.0437/0494 pada Jumaat lepas, meningkat berbanding euro kepada 5.1619/1673 daripada 5.1656/1705 sebelum ini, bagaimanapun rendah berbanding yen Jepun kepada 3.1736/1772 daripada 3.1677/1709.

Pada masa yang sama, ringgit bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.53/8.54 daripada 8.54/8.55 dan tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 305.9/306.4 daripada 306.1/306.5 pada Jumaat lepas, bagaimanapun rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.5494/5534 daripada 3.5489/5525 dan susut berbanding baht Thailand kepada 13.2584/2782 daripada 13.2198/2381 sebelum ini.

-- BERNAMA