KUALA LUMPUR: Nilai ringgit susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan kelompok mata wang utama lain pada Isnin, diasak risiko geopolitik yang memuncak dan mengukuhkan dolar berkenaan selain lonjakan harga minyak mentah Brent.
Pada masa sama, prestasi ringgit turut dijejaskan oleh susulan perang di Iran.
Advertisement
Setakat 6 petang ini, ringgit susut ke paras 3.9590/9655 berbanding dolar AS daripada 3.9425/9535 pada Jumaat.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata minyak mentah Brent dilaporkan melonjak sehingga mencecah AS$118.35 setong pada sesi pagi namun kemudiannya bergerak sekitar AS$107.91 setong selepas Iran mengumumkan pelantikan Mojtaba Khamenei sebagai pemimpin agung baharu.
Harga minyak mentah turut melonjak melepasi paras AS$105 setong, malah mencecah seketika paras AS$108 setong pada Ahad selepas pelantikan Mojtaba susulan kematian pemimpin agung yang juga bapanya, Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan udara Amerika Syarikat-Israel.
Pada petang ini, harga minyak mentah Brent telah melonjak 12.16 peratus kepada AS$104.75 setong.
“Ringgit terus dijejaskan oleh perkembangan perang di Iran. Pelantikan pemimpin agung baharu itu hanya memberi petanda konflik ini berkemungkinan berpanjangan,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata kebimbangan mengenai inflasi global dan bagaimana reaksi bank-bank pusat, juga meningkatkan hasil Perbendaharaan AS.
“Jelas sekali, langkah mengelak risiko telah memacu sentimen pasaran ke arah trajektori lebih lemah. Sehubungan itu, ringgit juga dijangka diniagakan rendah dalam masa terdekat,” katanya.
Sewaktu ditutup, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.
Ringgit ditutup susut berbanding yen Jepun kepada 2.4992/5035 daripada 2.4973/5044 pada Jumaat lepas, rendah berbanding pound Britain kepada 5.2809/2896 daripada 5.2530/2676 dan turun berbanding euro kepada 4.5738/5813 daripada 4.5634/5762.
Selain itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara anggota ASEAN yang lain.
Ini termasuk ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.3345/3617 daripada 12.3392/3810 pada Jumaat berbanding peso Filipina pada 6.65/6.67 daripada 6.68/6.70.
Bagaimanapun, ringgit diniagakan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0925/0978 daripada 3.0779/0867 selain rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 233.5/234.0 daripada 232.9/233.6 sebelum ini.
-- BERNAMA