KUALA LUMPUR: Ringgit terus merosot berbanding dolar AS hari ini meskipun harga minyak mentah lebih tinggi memandangkan kes harian COVID-19 di Malaysia yang menurun sedikit tidak cukup untuk mengembalikan keadaan positif di pasaran, menurut penganalisis.

Pada 6 petang, unit tempatan jatuh kepada 4.2360/2410 berbanding dolar AS daripada 4.2330/2355 sewaktu ditutup pada Rabu.

Kes harian COVID-19 di Malaysia telah melebihi 17,000 untuk hari kedua berturut-turut dengan 17,170 kes baharu direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 1,078,646.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata pergerakan pasaran turut dipengaruhi oleh mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat, yang menunjukkan pasaran buruh masih mempunyai ruang untuk pulih sebelum sampai masanya untuk menamatkan langkah sokongan ekonomi kecemasan.

"Pasaran buruh masih memerlukan masa untuk pulih terutamanya berikutan penularan varian Delta yang sangat cepat sebelum Fed sewajarnya mula mengukuhkan pendirian dasar monetarinya," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ini menunjukkan Fed telah berwaspada terhadap potensi impak penularan varian yang pantas itu, yang mungkin boleh menyebabkan laluan pemulihan yang tidak menentu.

"Oleh itu, sentimen ke arah mata wang lain termasuk ringgit telah terjejas berikutan laluan yang tidak menentu untuk pemulihan ekonomi," katanya.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit turun berbanding euro kepada 5.0294/0353 daripada 5.0017/0047 sewaktu ditutup semalam dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.8562/8611 daripada 3.8489/8515.

Unit tempatan rendah berbanding pound Britain kepada 5.9092/9162 daripada 5.8733/8768 dan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1285/1324 daripada 3.1141/1162 semalam.

-- BERNAMA