BISNES

Ringgit teruskan aliran mengukuh, cecah lagi paras tertinggi dalam lima tahun

Bernama 26/12/2025 | 01:00 MYT
Ringgit meneruskan momentum pengukuhannya pada Jumaat, dibuka mencecah lagi paras tertinggi berbanding dolar Amerika Syarikat dalam tempoh lima tahun di tengah-tengah minggu urus niaga yang singkat. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum pengukuhannya pada Jumaat, dibuka mencecah lagi paras tertinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh lima tahun di tengah-tengah minggu urus niaga yang singkat.

Pada 8 pagi, unit tempatan itu meningkat kepada 4.0410/0495 berbanding dolar AS daripada 4.0425/0515 pada penutupan Rabu.

Ringgit pernah mencatat paras 4.0450/0443 pada 26 Februari 2021.

Pasaran ditutup semalam sempena cuti umum Hari Krismas.

Sementara itu, bercakap kepada Bernama, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, minggu dagangan singkat susulan cuti itu dijangka menyaksikan pasaran mata wang yang lebih suram pada hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pelabur kekal optimis terhadap ringgit dengan dolar AS-ringgit berada pada paras paling kukuh dalam tempoh lima tahun.

"Lazimnya, ada kemungkinan berlaku aktiviti pengambilan untung, terutamanya apabila pasaran telah mengambil kira semua berita positif.

"Oleh itu, kami menjangkakan ringgit terus diniagakan dalam julat kecil 4.04 hingga 4.05 pada hari ini," katanya.

Selain itu, ringgit juga diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama.

Ini termasuk mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5874/5930 daripada 2.5940/5999, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4578/4693 daripada 5.4647/4768 serta naik berbanding euro kepada 4.7615/7715 daripada 4.7697/7804 sebelum ini.

Ringgit juga diniagakan mengukuh berbanding mata wang negara-negara ASEAN.

Berbanding dolar Singapura, ringgit naik ke paras 3.1460/1531 daripada 3.1506/1578, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9990/13.0352 daripada 13.0486/0705 sebelum ini dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.86/6.89 daripada 6.88/6.90.

Namun, ringgit susut sedikit berbanding rupiah Indonesia pada 241.3/242.0 berbanding 241.0/241.8 sebelum ini.

-- BERNAMA


#ringgit #dolar AS #ringgit mengukuh #pelabur