KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia meneruskan aliran meningkat hari ini disokong oleh ringgit yang lemah berbanding dolar AS, kata seorang peniaga.

Beliau berkata, permintaan yang lebih tinggi untuk komoditi itu berpunca daripada harapan pemulihan permintaan apabila China melonggarkan sekatan COVID-19 walaupun nasihat bercampur-campur daripada pasaran hadapan getah serantau.

"Sentimen pasaran terus disokong dengan jangkaan bahawa Inisiatif 'Belt and Road' China akan meningkatkan pemulihan ekonomi dunia," katanya.

Dilaporkan bahawa pemerhati pasaran dan eksekutif perniagaan kanan berkata usaha China dan rakan kongsi ekonomi untuk meningkatkan kesalinghubungan pada Inisiatif 'Belt and Road' dan program pembangunan negara akan menambah momentum pertumbuhan baharu kepada kerjasama dua hala dan pelbagai hala, katanya.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) menokok 10.0 sen kepada 571.50 sen sekilogram manakala lateks pukal turun 4.50 sen pada 475.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga penutup LGM untuk SMR 20 berada pada 570.50 sen sekilogram manakala lateks pukal ialah 474.00 sen sekilogram. - BERNAMA