BISNES
Rizab antarabangsa BNM naik kepada AS$119.60 bilion pada 30 Mei
Kedudukan rizab memadai untuk membiayai 5.0 bulan import barangan dan perkhidmatan, dan 0.9 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Rizab Antarabangsa Malaysia meningkat sedikit kepada AS$119.60 bilion pada 30 Mei, 2025 daripada AS$119.10 bilion pada 15 Mei, 2025, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam satu kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata kedudukan rizab adalah memadai untuk membiayai 5.0 bulan import barangan dan perkhidmatan, dan 0.9 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.
Komponen utama rizab ialah rizab mata wang asing (AS$106.4 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.3 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (AS$5.8 bilion), emas (AS$3.8 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.3 bilion).
Jumlah aset sebanyak RM627.92 bilion meliputi emas dan pertukaran serta rizab lain termasuk SDR (RM530 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.92 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM4.26 juta), pinjaman dan pendahuluan (RM27.00 bilion), tanah dan bangunan (RM4.58 bilion), dan aset-aset lain (RM49.16 bilion).
Bank pusat berkata jumlah modal dan liabiliti sebanyak RM627.92 bilion, merangkumi modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM193.24 bilion), mata wang dalam edaran (RM172.90 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM131.81 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM5.44 bilion), deposit-deposit lain (RM82.37 bilion), kertas Bank Negara (RM10.56 billion), peruntukan SDR (RM28.38 bilion), dan liabiliti-liabiliti lain (RM3.12 billion).
-- BERNAMA
#rizab antarabangsa
#BNM
#import barangan dan perkhidmatan
#hutang luar negara
#mata wang asing
#emas