BISNES

RM24.8 juta projek OGSE dikomersial sehingga Ogos, pamer kemajuan pelan tindakan

Bernama 26/09/2025 | 22:15 MYT
Syarikat OGSE memiliki kemahiran teknikal yang mudah disesuaikan dan boleh dimanfaatkan bagi menyertai bidang baharu yang sedang berkembang ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Lima syarikat berjaya mengkomersialkan projek bernilai RM24.8 juta antara Januari hingga Ogos 2025, disokong oleh Geran Pembangunan Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE).

Pencapaian ini diserlahkan dalam ulasan pertengahan penggal Pelan Tindakan Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 dan merupakan antara hasil utama yang dilaporkan semasa mesyuarat Jawatankuasa Pemandu OGSE yang diadakan pada Jumaat.

Geran Pembangunan OGSE yang diperkenalkan pada April 2021 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 merupakan geran padanan sehingga RM250,000 dan ditawarkan kepada syarikat OGSE yang layak untuk mengguna pakai inovasi serta teknologi selain mengembangkan eksport.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) Mohd Yazid Ja'afar berkata dengan berakhirnya Geran Pembangunan OGSE tahun ini, pihaknya berharap dapat menerima kelulusan kerajaan bagi meneruskan program ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

Beliau berkata MPRC sebagai penjaga sektor OGSE kekal komited untuk menyokong industri dalam memperkukuh inovasi, daya saing dan ketahanan jangka panjang selaras dengan objektif pelan tindakan tersebut.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron yang menghadiri mesyuarat berkenaan menggesa syarikat OGSE Malaysia untuk terus mengejar pengembangan antarabangsa dan inovasi bagi mengukuhkan ketahanan selain daya saing jangka panjang mereka.

"Terdapat keperluan untuk memacu pengembangan syarikat OGSE ke luar negara bagi memenangi kontrak besar dan jangka panjang.

"Ini akan membantu mereka mendepani cabaran dan kami menjangkakan MPRC, sebagai penjaga sektor OGSE di Malaysia serta sebuah agensi di bawah Kementerian Ekonomi akan menyokong pertumbuhan berterusan industri OGSE negara," katanya.

Nor Azmie menekankan peluang strategik dalam sektor pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) yang sedang giat dipromosikan oleh kementerian.

Beliau berkata syarikat OGSE memiliki kemahiran teknikal yang mudah disesuaikan dan boleh dimanfaatkan bagi menyertai bidang baharu yang sedang berkembang ini.

-- BERNAMA





#OGSE #Geran Pembangunan OGSE #Mohd Yazid Ja'afar #RMK13