KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini berupaya menyantuni setiap kumpulan sasaran di negara ini.

Ahmad Zahid berkata semua pihak juga memainkan peranan untuk memastikan semua program di bawah RMK12 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dapat dilaksanakan dengan kecekapan dan pemantauan yang baik.

"Kita mempunyai tempoh hanya dua tahun setengah dari sekarang untuk melihat keberkesanan ini dirasai oleh rakyat dan apa yang penting bukan hanya keberkesanan secara fizikal, namun keberkesanan dari segi spiritual atau batin.

"Banyak bajet yang telah dikeluarkan dari selepas kita merdeka dan ini merupakan RMK12 yang tentunya perancangan telah dibentangkan begitu lama dengan ramai yang dapat kebahagian fizikal tetapi kurang daripada segi kebahagiaan spiritual.

"Maka kita harapkan ada perimbangan antara kebahagian fizikal dan spiritual kepada semua rakyat dan semua kumpulan sasaran," katanya pada sidang media selepas pembentangan RMK12 yang bertemakan 'Malaysia MADANI: Mampan, Sejahtera, Berpendapatan Tinggi' pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat.

Mengenai pembangunan wilayah, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah melihat terdapat keseimbangan peruntukan antara kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar dalam RMK12.

Beliau berkata menerusi RMK12, kerajaan mahu dalam tempoh enam dekad semua kawasan pedalaman di negara ini dapat dimajukan, mendapat bekalan elektrik dan air bersih serta infrastruktur yang boleh diakses.

Berkenaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata perjanjian antara institusi TVET dengan pemain industri membolehkan peserta TVET di negara ini mendapat pekerjaan yang bersesuaian dengan permintaan sektor pekerjaan.

-- BERNAMA