KUALA LUMPUR: Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) akan dibangunkan di Sabah dan Sarawak bagi mengurangkan kadar keciciran murid daripada Tingkatan 3 ke 4, selain menyediakan akses kepada pendidikan sehingga 11 tahun iaitu dari Darjah 1 hingga Tingkatan 5.

Menurut Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, lebih banyak sekolah daif yang berada pada skala tujuh berdasarkan Indeks Penilaian Keadaan Bangunan Sekolah turut akan diganti.

"Pusat kanak-kanak berkeperluan khas di Sabah dan Sarawak akan turut dibina bagi memastikan kanak-kanak autisme menerima intervensi dan pendidikan di peringkat awal," menurut laporan kajian itu.

Pada masa sama, tumpuan diberikan kepada peningkatan kemahiran pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan guru melalui penyesuaian dan pemahaman budaya setempat di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Selain itu, kemudahan dan infrastruktur termasuk infrastruktur digital di sekolah dan pejabat pendidikan juga akan ditambah baik.

Dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, sebanyak 26,000 rumah usang akan dibaik pulih dan dibina semula di bawah Program Bantuan Rumah untuk menambah baik keadaan tempat tinggal golongan miskin di Sabah dan Sarawak.

Dari aspek perkhidmatan kesihatan di kedua-dua negeri itu, antara inisiatif digariskan adalah perkhidmatan jagaan warga emas di klinik kesihatan dan hospital yang akan diintegrasi, serta makmal invasif kardiologi di hospital awam akan dibangunkan secara berfasa untuk mengurangkan morbiditi dan kematian akibat penyakit jantung.

Skim Perubatan MADANI juga terus dilaksana bagi membolehkan golongan kurang berkemampuan mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta, yang dengan usaha itu dapat mengurangkan kesesakan di fasiliti penjagaan kesihatan awam.

Bagi mempertingkatkan keselamatan sempadan dan mewujudkan persekitaran yang selamat, lebih banyak pos keselamatan akan dibina, selain kekerapan rondaan dan pemantauan dipertingkatkan untuk memperkukuh kawalan sempadan.

Menara radar penderiaan jauh di Sabah akan dinaik taraf manakala fasiliti baharu akan dibina di Sarawak untuk menangani potensi ancaman.

Selain itu, pembangunan tanah Hak Adat Anak Bumiputera (NCR) berdasarkan pendekatan pembangunan tanah secara bersepadu akan terus diperkukuh melalui kerjasama antara agensi Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak swasta.

Pengukuran dan pemetaan tanah NCR turut akan dipercepat bagi memudahkan kerajaan negeri dalam pewartaan dan pemberian hak milik tanah, dan dengan langkah itu membolehkan tanah NCR dibangunkan serta lebih banyak peluang penjanaan pendapatan diwujudkan untuk anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak.

Menurut kajian itu, pembinaan infrastruktur telekomunikasi akan dipercepat dengan mengutamakan pembinaan di atas tanah atau bangunan milik kerajaan dan usaha berterusan dalam menyediakan Points of Presence di kawasan sekitar sekolah akan dilaksana bagi meningkatkan ketersambungan jalur lebar.

-- BERNAMA