KUALA LUMPUR: Meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak dengan tadbir urus perkembangan dan perlindungan golongan itu ialah antara inisiatif yang akan dilaksana dalam tempoh akhir Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) untuk memenuhi keperluan kumpulan sasar khusus bagi membangunkan masyarakat yang lebih inklusif.

Menurut Kajian Separuh Penggal RMK12 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, Dasar Kanak-Kanak Negara akan disemak semula agar ia menjadi lebih komprehensif.

"Pelan tindakan akan dibangunkan bagi memastikan kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak selain pasukan khusus akan ditubuhkan untuk membasmi pornografi kanak-kanak dan memberkas pelaku melalui kerjasama dengan pelbagai agensi," menurut laporan itu.

Laporan itu turut memfokus kepada lima lagi kumpulan sasar khusus iaitu membangunkan golongan belia yang dinamik, memperkasa wanita, mempertingkat kesejahteraan warga emas dan memperkasa orang kurang upaya (OKU) selain memperkukuh institusi keluarga.

Bagi membangunkan belia yang dinamik, pemerkasaan ekonomi golongan itu akan diberi tumpuan untuk meningkatkan kebolehpasaran belia dalam tempoh akhir RMK12.

"Kajian bagi mengenal pasti profil belia yang berada dalam kategori bukan dalam pekerjaan, pendidikan atau latihan (NEET) akan dilaksana untuk melibatkan semula kumpulan ini dalam masyarakat.

"Penganjuran program di bawah inisiatif Rakan Muda fasa baharu akan ditingkatkan dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan untuk membangun dan menyerlahkan potensi belia," menurut laporan itu.

Inisiatif bagi memperkasa wanita pula tertumpu dengan penubuhan gender focal team di semua kementerian bagi mengarusperdanakan jantina dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar.

Kerajaan turut merancang mengadakan kajian pembangunan rangka tindakan masyarakat menua sebagai persediaan Malaysia menghadapi negara tua selain mengkaji semula ketersediaan kemudahan awam sedia ada terutama di kawasan luar bandar untuk dijadikan pusat bagi menjalankan aktiviti warga emas dalam menggalakkan kehidupan aktif dan produktif.

Menyedari sokongan terhadap keperluan OKU yang masih tidak mencukupi, Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) akan turut dipinda bagi memperkukuh pemerkasaan dan meningkatkan perlindungan hak golongan itu.

"Advokasi awam mengenai kepentingan pendaftaran OKU akan dipertingkat bagi membolehkan OKU mendapat perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan manakala program jangkauan akan diperluas terutama di kawasan luar bandar bagi menambah baik akses kepada maklumat mengenai bantuan dan perkhidmatan untuk OKU," menurut laporan itu.

Selain itu, usaha memperkukuh institusi keluarga pula akan dilaksana antaranya dengan mengkaji semula Dasar Keluarga Negara dan pelan tindakan berkaitan manakala Program Perancang Keluarga Kebangsaan akan disemak semula untuk memperkukuh kualiti kehidupan keluarga serta mempergiat program kekeluargaan yang memupuk nilai murni selaras nilai teras Malaysia MADANI.

-- BERNAMA