[TERKINI] AS Turunkan Tarif ke 19% Terhadap Malaysia – Semak Laporan Penuh Di Sini
BISNES

RMK13: Kerajaan perkukuh ekonomi hijau - PM Anwar

Bernama 31/07/2025 | 08:02 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkukuh ekonomi hijau iaitu model pembangunan ekonomi yang menekankan kelestarian alam sekitar menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).


Ringkasan AI
  • RMK13 perkukuh ekonomi hijau negara: Melalui Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan, Skim Perdagangan ETS dan insentif kredit karbon, serta projek rintis pemerangkapan karbon (CCUS) dalam industri besi dan keluli.
  • Pelan penyahkarbonan sektor penerbangan dilancarkan: Fokus kepada penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF), teknologi pesawat cekap dan penambahbaikan operasi untuk capai sasaran karbon sifar bersih menjelang 2050.
  • Ekonomi kitaran dan tenaga alternatif dipacu: Loji waste-to-energy diperluas melalui kerjasama swasta, dan depoh pengadunan biodiesel di Sandakan, Lahad Datu dan Bintulu dinaik taraf untuk sokong bahan api rendah karbon,


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif berkenaan termasuk memudah cara perdagangan karbon antaranya melalui pelaksanaan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan, Skim Perdagangan (ETS) serta penyediaan insentif bagi projek kredit karbon.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata aktiviti pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) akan dipergiat dengan menjadikannya sebahagian daripada taksonomi pelaburan dan pembiayaan hijau.

"Akses kepada pembiayaan hijau akan diperluas bagi menyokong usaha penyahkarbonan sektor utama negara," katanya ketika pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga akan melaksanakan sebuah projek rintis pemerangkapan karbon dalam industri besi dan keluli, di Kemaman, Terengganu.

Anwar berkata kerajaan juga telah merangka Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Sektor Penerbangan Malaysia yang menggariskan pembangunan infrastruktur dan penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF).

Beliau berkata kerajaan juga akan mengoptimumkan penggunaan sisa pertanian dalam memacu ekonomi kitaran dan menghasilkan nilai tambah baharu yang mampan.

''Dengan itu, pembinaan loji waste-to-energy akan diperluas melalui kerjasama swasta untuk mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan.

''Pada masa sama, kapasiti kemudahan depoh pengadunan biodiesel di Sandakan, Lahad Datu dan Bintulu juga akan dinaik taraf bagi menyokong penggunaan bahan api alternatif rendah karbon,'' katanya.

-- BERNAMA


#RMK13 #Anwar Ibrahim #ekonomi hijau #Dewan Rakyat #terkini