[TERKINI] AS Turunkan Tarif ke 19% Terhadap Malaysia – Semak Laporan Penuh Di Sini
BISNES

RMK13: Pendekatan ekonomi melalui penciptaan nilai, memacu pendigitalan - Ahmad Zahid

Astro Awani 31/07/2025 | 08:16 MYT
Ahmad Zahid Hamidi berkata, tumpuan terhadap kebijaksanaan dalam perancangan dan pelaksanaan dasar menjadikan RMK13 satu dokumen penting dalam mencipta nilai ekonomi baharu yang dipacu pendigitalan dan teknologi. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pelan pembangunan lima tahun, Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bukan sekadar dokumen ekonomi semata-mata, sebaliknya mencerminkan komitmen kerajaan untuk menjamin kesejahteraan rakyat, memacu pertumbuhan yang inklusif dan saksama serta memastikan tiada golongan yang terpinggir.


Ringkasan AI
  • RMK13 dokumen strategik untuk kesejahteraan rakyat: Fokus kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan saksama, dipacu oleh teknologi seperti AI dan pendigitalan.
  • TVET diperkasa melalui penetapan gaji kemahiran: Gaji minimum berdasarkan keterampilan dilaksana untuk tingkatkan kebolehpasaran tenaga kerja dan nilai pendidikan teknikal.
  • Pemerkasaan ekonomi Bumiputera melalui PuTERA35: Sebanyak 132 inisiatif dimasukkan ke dalam RMK13 bagi memajukan sosioekonomi masyarakat Bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tumpuan terhadap kebijaksanaan dalam perancangan dan pelaksanaan dasar menjadikan RMK13 satu dokumen penting dalam mencipta nilai ekonomi baharu yang dipacu pendigitalan dan teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI).

"Saya amat tertarik dengan fokus kebijakan yang digariskan dalam RMK13, khususnya kebijakan kedua yang memberikan penekanan kepada pemerkasaan ekonomi melalui penciptaan nilai serta pematuhan terhadap industri bernilai tinggi, termasuk sektor yang dikenali sebagai ‘high hydro value’.

“Pendekatan ini bukan sahaja menjana pertumbuhan ekonomi negara, malah menjamin manfaat yang bersifat inklusif dan adil kepada seluruh rakyat,” katanya pada sidang media selepas pembentangan RMK13 di Parlimen di sini, pada Khamis.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas keprihatinan terhadap agenda pemerkasaan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya dari aspek penetapan gaji minimum berasaskan kemahiran.

Katanya, usaha itu akan memberi nilai tambah kepada sistem pendidikan negara dan secara tidak langsung meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan.

"Penetapan gaji premium yang berpaksikan kepada keterampilan akan mengubah persepsi terhadap pelaburan sumber manusia, daripada bergantung kepada buruh tanpa kemahiran kepada pelaburan modal insan berkemahiran tinggi," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera juga terus diberi keutamaan menerusi RMK13.

Menurutnya, sebanyak 132 inisiatif yang dirangka dalam resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera menerusi Pelan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2035 (PuTERA35) berjaya diterapkan dalam RMK13.

"Semoga ia dapat memberikan manfaat kepada semua peringkat golongan di luar bandar, pinggir bandar dalam bandar serta rakan di Sabah dan Sarawak," katanya lagi.





#Ahmad Zahid Hamidi #kecerdasan buatan #RMK13 #Anwar Ibrahim #Dewan Rakyat #Bumiputera #TVET #terkini