[TERKINI] AS Turunkan Tarif ke 19% Terhadap Malaysia – Semak Laporan Penuh Di Sini
BISNES

RMK13: Sasar eksport E&E cecah RM1 trilion menjelang 2030 - PM Anwar

Madiha Abdullah 31/07/2025 | 05:58 MYT
Malaysia berada pada kedudukan membanggakan sebagai pengeksport keenam terbesar semikonduktor dunia, eksport E&E cecah RM600 bil pada 2024. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pelan strategik utama negara seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) akan dipergiat di bawah kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi merangsang pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.


Ringkasan AI
  • Malaysia perhebat pelaksanaan pelan strategik industri: RMK13 memacu NIMP 2030, NSS dan NETR untuk merangsang ekonomi inklusif dan mampan, dengan sasaran eksport E&E mencecah RM1 trilion menjelang 2030.
  • Strategi Semikonduktor Nasional fokus kepada teknologi bernilai tinggi: Tumpuan kepada reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju dan proses hadapan bagi melonjakkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global.
  • Kerjasama global perkukuh ekosistem teknologi Malaysia: Perjanjian bernilai AS$250 juta dengan ARM Holdings serta sinergi bersama AWS, Intel dan Infineon mempercepatkan pemerkasaan harta intelek dan pembangunan bakat tempatan.


Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia kini berada pada kedudukan membanggakan sebagai pengeksport keenam terbesar semikonduktor dunia, dengan eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) melebihi RM600 bilion pada tahun 2024.

“Kerajaan akan mengoptimumkan pencapaian ini melalui pelaksanaan projek Flagship Industri Semikonduktor High Value-High Technology, yang menyasarkan nilai eksport produk E&E menghampiri RM1 trilion menjelang 2030,” katanya semasa membentangkan RMK13 di Parlimen hari ini.

Strategi Semikonduktor Nasional akan memberi fokus kepada pembangunan reka bentuk litar bersepadu, peralatan pembuatan semikonduktor, pembungkusan termaju dan proses hadapan (front-end), bagi melonjakkan industri semikonduktor tempatan ke peringkat lebih tinggi.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kerjasama strategik dengan ARM Holdings yang dimeterai awal tahun ini dan bernilai AS$250 juta merupakan satu lonjakan penting ke arah pemerkasaan harta intelek serta peralihan Malaysia daripada hab pengeluaran semata-mata kepada peneraju teknologi semikonduktor bernilai tinggi.

Beliau turut menekankan bahawa sinergi antara syarikat tempatan dengan gergasi global seperti Amazon Web Services, Intel Corporation dan Infineon Technologies akan terus diperkukuh.

Tambahnya, kerjasama ini penting dalam mempercepatkan peralihan industri ke arah pengeluaran produk semikonduktor yang lebih kompleks dan bernilai tinggi, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia dalam rantaian nilai global.



#Anwar Ibrahim #semikonduktor #RMK13 #terkini #eksport produk elektrik dan elektronik