BISNES
RMK-13 sasar pertingkat daya saing Malaysia menerusi pembuatan bernilai tinggi – Ahli ekonomi

Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dijangka meningkatkan daya saing Malaysia dengan mempromosikan pembuatan bernilai tinggi menerusi dasar mesra perniagaan dan pelabur, kata Ahmed Razman. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dijangka meningkatkan daya saing Malaysia dengan mempromosikan pembuatan bernilai tinggi menerusi dasar mesra perniagaan dan pelabur, kata ahli ekonomi.
Profesor Madya Putra Business School, Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, RMK-13, berfungsi sebagai pelan indikatif dari 2026 hingga 2030 akan membantu merangsang pelaburan domestik dan asing melalui pembaharuan dasar dan insentif.
"RMK-13 boleh meletakkan Malaysia sebagai peneraju dengan memanfaatkan kekuatan sedia ada dalam pembuatan dan semikonduktor, memacu integrasi serantau menerusi rangka kerja ASEAN dan menerima pakai kedudukan serantau yang strategik.
"Ia juga harus menyasarkan untuk memajukan rantaian nilai semikonduktor dan menambah baik daya tahan rantaian bekalan serantau, pada masa sama tidak mengabaikan kemampanan dan keterangkuman dalam kalangan perniagaan tempatan," katanya kepada Bernama.Dokumen RMK-13 itu dijadual dibentang di sidang Dewan Rakyat pada 31 Julai depan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, Ahmed Razman berkata, pelan strategik lima tahun itu juga harus menggalakkan automasi melalui insentif untuk penggunaan teknologi, sokongan untuk peralihan tenaga kerja dan dasar jelas dan stabil.
"RMK-13 harus mempercepatkan pendigitalan dengan melabur dalam infrastruktur digital, menyediakan insentif untuk penggunaan digital, mewujudkan ekosistem dan kerjasama serta mengukuhkan keselamatan siber dan tadbir urus data," katanya.
Sementara itu, Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Yeah Kim Leng berkata, RMK-13 harus mengutamakan mewujudkan dan membolehkan persekitaran untuk pasaran bebas berkembang maju dan bagi perusahaan swasta untuk berinovasi, bersaing dan makmur.
Beliau berkata, Malaysia dijangka beralih kepada status negara berpendapatan tinggi seperti yang ditakrifkan oleh Bank Dunia dalam tempoh RMK-13 dari 2026 hingga 2030.
Yeah menekankan bahawa salah satu pemacu utama peralihan ini ialah pengembangan berterusan bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan bernilai tinggi dan maju.
"Peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) baru-baru ini telah menambah baik daya saing negara dan kedudukan strategiknya sebagai hab serantau bagi rantaian bekalan semikonduktor dan pusat data.
"Selain semikonduktor dan pusat data, industri seperti kecerdasan buatan (AI) dan berkaitan dengan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) juga penting. RMK-13 dijangka menggalakkan kemajuan struktur dalam industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi yang lain termasuk tenaga boleh baharu serta pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon," katanya.
Yeah berkata, inisiatif RMK-13 harus menangani peningkatan permintaan untuk perkhidmatan lebih canggih dan berkualiti tinggi, seterusnya akan memacu pertumbuhan dalam kewangan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan penjagaan warga emas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami