KUALA LUMPUR: MNRB Holdings Berhad (MNRB) mengumumkan pelantikan Datuk Rudy Rodzila Che Lamin sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif bagi subsidiari takaful amnya, Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful IKHLAS General), berkuat kuasa pada Selasa.

MNRB dalam satu kenyataan berkata, Rudy Rodzila dibawa ke takaful IKHLAS General dengan memiliki pengalaman selama 28 tahun dalam industri kewangan, perbankan dan insurans.

“Beliau mengambil alih jawatan tersebut daripada Eddy Azly Abidin, yang bersara berkuat kuasa pada 29 November 2021 selepas menerajui syarikat selama tiga tahun,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan kepimpinan baharu itu, Pengerusi MNRB, Datuk Johar Che Mat berkata, Lembaga Pengarah yakin dengan pengalaman beliau yang luas serta perspektifnya yang mendalam dalam sektor institusi kewangan, serta dapat memimpin Takaful IKHLAS ke fasa baharu pertumbuhan perniagaan.

"Kami percaya pengetahuan dan pengalaman beliau dalam industri dapat menyumbang kepada gabungan kualiti dan kepakaran yang sempurna untuk jawatan baharu beliau.

“Lembaga Pengarah juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Eddy Azly atas sumbangan dan dedikasi beliau sepanjang berkhidmat bersama Takaful IKHLAS General, terutamanya dalam menangani cabaran akibat pandemik COVID-19,” ujarnya.