Rumah mampu milik dominasi pola pasaran harta tanah 2016 - Chua Tee Yong

Bernama
April 19, 2016 12:05 MYT
Lebih 50 peratus pelancaran kediaman baharu pada tahun lepas adalah dalam lingkungan harga RM500,000 ke bawah. - Gambar Bernama
Pola pasaran harta tanah 2016 dijangka didominasi oleh penawaran rumah mampu milik berdasarkan senario tahun lepas, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong.
Lebih 50 peratus pelancaran kediaman baharu pada tahun lepas adalah dalam lingkungan harga RM500,000 ke bawah, katanya ketika melancarkan Laporan Pasaran Harta 2015 di Kementerian Kewangan di sini.
"Pelancaran baharu secara keseluruhannya dijangka perlahan untuk membolehkan pasaran menyerap unit-unit tidak terjual yang tersedia dari semasa ke semasa," katanya.
Bilangan transaksi yang dicatatkan pada 2015 ialah sebanyak 362,105 unit berbanding 384,060 unit pada 2014 manakala nilai transaksi yang direkodkan pada tahun 2015 ialah RM149.9 bilion berbanding RM163.0 bilion tahun sebelumnya, katanya.
Harta kediaman berharga RM300,000 dan ke bawah mendominasi pasaran 2015 dengan menyumbang 68 peratus daripada jumlah pasaran harta kediaman, katanya.
"Pindah milik pada harga melebihi RM300,000 sehingga RM500,000 menyumbang sebanyak 17.3 peratus manakala melebihi RM500,000 menyumbang 14.7 peratus," katanya.
Chua berkata hasil daripada pelbagai langkah dan inisiatif kerajaan untuk mengawal kenaikan harga rumah, buat pertama kalinya kenaikan harga rumah mencatatkan pertumbuhan negatif pada suku tahun keempat 2015.
"Pada suku tahun keempat 2015, kadar kenaikan harga rumah menurun sebanyak 0.8 peratus berbanding paras harga pada suku tahun ketiga 2015," katanya.
Chua berkata program perumahan yang diumumkan dalam Bajet 2015 dan 2016 dijangka menyuntik lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat berpendapatan sederhana.
Ini termasuk Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) dan Skim Pembiayaan Perumahan Bank Simpanan Nasional (BSN) Youth Housing Scheme, katanya.
#Chua Tee Yong #rumah mampu milik