BISNES

Ryt Bank dilancarkan, bank pertama di dunia dikuasakan AI

Harits Asyraf Hasnan 25/08/2025 | 03:00 MYT
Dibangunkan YTL Group dengan kerjasama Sea Limited, Ryt Bank merupakan satu langkah berani ke arah masa depan digital negara, menggabungkan inovasi AI bertaraf dunia dengan nilai, bahasa serta gaya hidup yang membentuk identiti Malaysia. - Ryt Bank
KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini mencatat sejarah dengan pelancaran Ryt Bank, bank pertama di dunia yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI), dibangunkan oleh YTL Group dengan kerjasama Sea Limited.

Dilancarkan bersempena sambutan Hari Kebangsaan, Ryt Bank direka khusus untuk rakyat Malaysia dengan menggabungkan inovasi AI terkini bersama nilai, bahasa dan gaya hidup tempatan.

Pengarah Urusan YTL Power International, Datuk Seri Yeoh Seok Hong berkata, pelancaran Ryt Bank membuktikan kemampuan Malaysia untuk mencipta dan membangunkan inovasi yang setanding dengan piawaian global, namun kekal berpaksikan kepelbagaian budaya negara.

“Dengan Ryt Bank, kami telah membangunkan sebuah bank yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia – bank yang menggunakan bahasa kita, memahami budaya kita dan menetapkan penanda aras baharu untuk pengalaman perbankan moden,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ryt Bank menyatukan semua aspek kewangan anda, daripada simpanan dan faedah harian, sehinggalah kredit segera. - Foto Ryt Bank


Ryt Bank menawarkan akses dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin, sekali gus memastikan perkhidmatan perbankan inklusif untuk semua rakyat Malaysia. Aplikasi berbilang bahasa itu akan tersedia menjelang September 2025.

Ryt Bank menampilkan Ryt AI, pembantu perbankan pintar yang dikuasakan oleh ILMU, model bahasa besar pertama Malaysia.

Ia mampu memahami Bahasa Malaysia, Inggeris dan Manglish, serta bertindak balas terhadap keperluan perbankan harian seperti pembayaran bil, pemindahan wang dan pendidikan kewangan.

Antara ciri utama yang ditawarkan ialah:

Ryt Bank beroperasi dengan lesen rasmi daripada Bank Negara Malaysia, manakala deposit pelanggan dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) sehingga RM250,000 bagi setiap pendeposit.

Antara ciri keselamatan termasuk log masuk biometrik, penyulitan berlapis dan amaran penipuan masa nyata.

Applikasi bank itu kini boleh dimuat turun menerusi App Store dan Google Play.

Nadi utama Ryt Bank ialah Ryt AI, pembantu perbankan pintar AI yang dikuasakan oleh ILMU – model bahasa besar pertama yang dibangunkan di Malaysia. - Foto Ryt Bank




#Ryt Bank #bank digital #teknologi AI #kecerdasan buatan