BISNES
Saham Jepun melonjak selepas PM Ishiba letak jawatan

Pasaran saham Jepun melonjak selepas Ishiba (foto) meletak jawatan, dengan spekulasi penggantinya akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan. -Gambar fail/Reuters
TOKYO: Pasaran saham Jepun melonjak pada Isnin selepas Perdana Menteri Shigeru Ishiba meletakkan jawatan, sekali gus mencetus spekulasi bahawa penggantinya bakal meningkatkan perbelanjaan kerajaan.
Ringkasan AI
- Pasaran saham Jepun melonjak selepas PM Shigeru Ishiba meletak jawatan, dengan spekulasi penggantinya akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan.
- Sanae Takaichi muncul sebagai calon utama, disokong dasar -Abenomics- dan cenderung kepada rangsangan fiskal, yang positif untuk saham tetapi membimbangkan bagi pasaran bon.
- Beban hutang Jepun kekal tinggi, dan perubahan kepimpinan berlaku susulan kekalahan besar LDP dalam pilihan raya dewan atasan.
Hasil bon jangka panjang kekal hampir pada paras tertinggi ekoran kebimbangan global mengenai defisit fiskal, selain tekanan dalaman terhadap Ishiba daripada parti pemerintah, Parti Liberal Demokratik (LDP).
Antara calon utama bagi menggantikan Ishiba ialah Sanae Takaichi, yang terkenal sebagai penyokong dasar “Abenomics” peninggalan bekas Perdana Menteri Shinzo Abe.
Takaichi dilihat cenderung kepada dasar fiskal lebih meluas yang dianggap positif untuk pasaran ekuiti, namun membimbangkan bagi pasaran bon.
“Beliau dikenali sebagai tokoh yang menyokong langkah rangsangan dan mahu Bank of Japan mengambil pendekatan berhati-hati terhadap dasar monetari, sesuatu yang mungkin tidak baik untuk pasaran bon,” kata Skye Masters, Ketua Penyelidikan Pasaran di National Australia Bank.
Sementara itu, Ishiba yang berfahaman lebih konservatif dari segi fiskal sebelum ini dilihat positif untuk pasaran bon Jepun.
Namun, beban hutang negara yang kini mencecah hampir 250 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal sebagai kebimbangan utama.
Tindakan Ishiba meletakkan jawatan berlaku selepas kekalahan besar gabungan pemerintahnya dalam pilihan raya dewan atasan Julai lalu, yang menyaksikan parti luar menambah kerusi dengan janji pemotongan cukai dan perbelanjaan lebih besar.
Ishiba mengakui bertanggungjawab atas keputusan tersebut dan mengarahkan LDP mengadakan pemilihan kepimpinan tergempar.
Indeks Nikkei pernah mencecah paras tertinggi 43,876.42 pada 19 Ogos lalu, didorong keyakinan terhadap reformasi tadbir urus korporat dan pelaburan dalam kecerdasan buatan.
Namun tinjauan Reuters menjangka indeks itu bakal berundur ke paras sekitar 42,000 menjelang akhir tahun. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami