[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
BUSINESS

Saham YTL Power, Ranhill digantung mulai Selasa

Astro Awani 28/05/2024 | 03:30 MYT
Saham Pengeluar kuasa bebas YTL Power International Bhd dan pesaing kecil Ranhill Utilities Bhd digantung mulai Selasa.
KUALA LUMPUR: Saham pengeluar kuasa bebas, YTL Power International Bhd (KL:YTLPOWR) dan pesaing kecil Ranhill Utilities Bhd (KL:RANHILL) digantung mulai Selasa, 9 pagi sementara menunggu pengumuman rasmi berkaitan dengannya.
Memetik laporan The Edge pada Isnin, dagangan dalam waran berstruktur berkaitan Ranhill juga akan digantung.
YTL Power muncul sebagai pemegang saham besar Ranhill pada 1 Nov 2023 selepas ia memperoleh 243.33 juta saham, bersamaan dengan 18.87 peratus kepentingan, daripada Cheval Infrastructure Fund LP.
Berikutan pengumuman itu, spekulasi bertiup kencang bahawa YTL Power sedang mengintai pegangan kawalan dalam Ranhill, memandangkan hak eksklusifnya terhadap bekalan air Johor dan pengaruhnya dalam sektor kuasa Sabah.
Ranhill juga sedang giat berusaha untuk mengembangkan kehadirannya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) melalui loji solar berskala besar (LSS4) 50MW yang akan beroperasi tidak lama lagi di Bidor, Perak.
Begitu juga, YTL Power juga sedang membina kehadirannya di Johor dan RE melalui fasa pertama pusat data 72MW dan ladang solar 500MW di Kulai, Johor.
Buat masa ini, Pengerusi dan Ketua Eksekutif Ranhill Tan Sri Hamdan Mohamad memegang bahagian terbesar kumpulan itu dengan jumlah pegangan saham langsung dan tidak langsung sebanyak 31.42 peratus.
Beliau merupakan pengasas kumpulan Ranhill sejak pengambil alihan status penyenaraian Symphony House Bhd pada Disember 2015.
Menurut Bloomberg, pemegang saham besar lain dalam Ranhill termasuk United Overseas Bank Ltd, dengan 9.09 peratus kepentingan, dan Permodalan Darul Ta'zim Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh kerajaan negeri Johor, dengan 9.07 peratus kepentingan.
Pada penutupan pasaran Isnin, saham Ranhill naik 12 sen, atau 8.28 peratus, pada RM1.57 untuk permodalan pasaran RM2.04 bilion, manakala YTL Power naik satu sen atau 0.2 peratus kepada RM4.96 untuk permodalan pasaran RM40 .66 bilion.
#YTL Power International Bhd #Ranhill Utilities Bhd #saham #bursa saham