BISNES

Sambutan Jubli Emas 50 tahun KOSAS julang legasi keunggulan gerakan koperasi Selangor

Astro Awani 12/12/2025 | 11:05 MYT
Majlis Makan Malam Jubli Emas KOSAS disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tengah). - Foto SKM
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) merakamkan ucapan tahniah kepada Koperasi Serbaguna Anak-Anak Selangor Berhad (KOSAS) sempena Sambutan Jubli Emas yang menandakan lima dekad penubuhan dan sumbangannya terhadap pembangunan gerakan koperasi di negeri Selangor dan Malaysia.


Ringkasan AI
  • SKM mengucapkan tahniah kepada KOSAS sempena Sambutan Jubli Emas bagi sumbangan mereka terhadap pembangunan gerakan koperasi di Selangor dan Malaysia.
  • Pengerusi SKM menyatakan bahawa kejayaan KOSAS selama 50 tahun bukan datang dengan mudah, tetapi melalui pengorbanan, iltizam, dan kepimpinan yang kukuh.
  • KOSAS diiktiraf sebagai penyumbang utama kepada perkembangan koperasi di Selangor, dengan negeri itu memiliki ribuan koperasi dan anggota serta prestasi ekonomi yang kukuh.


Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal menegaskan kejayaan KOSAS sepanjang 50 tahun bukan hadir dengan mudah.

Ujar beliau, ia dibina melalui pengorbanan, iltizam dan daya kepimpinan mereka yang pernah menerajui serta mendukung koperasi tersebut sejak awal penubuhan.

"50 tahun adalah suatu tempoh yang cukup panjang untuk membuktikan sesuatu, bahawa KOSAS bukan hanya relevan tetapi juga mempunyai daya tahan dan kemampuan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ahmad Norihan menambah, dengan integriti, disiplin, amanah serta budaya kerja tinggi yang menjadi identiti KOSAS, beliau yakin koperasi itu mempunyai potensi besar untuk terus menjadi pemain penting dan pencetus inspirasi dalam gerakan koperasi negara.

Selangor merupakan antara negeri yang paling aktif dalam pembangunan koperasi.

Sehingga 31 Disember 2024, negeri itu merekodkan 2,189 koperasi dengan 654,727 anggota, manakala prestasi ekonomi turut menunjukkan kekukuhan dengan perolehan RM796.23 juta, syer dan yuran RM789.34 juta serta aset bernilai RM2.816 bilion.

Dalam konteks ini, KOSAS diakui sebagai salah satu penyumbang utama kepada kekuatan statistik gerakan koperasi negeri sejak lima dekad lalu.

Pada masa yang sama, Ahmad Norihan menegaskan sambutan Jubli Emas bukan sekadar mengenang sejarah tetapi menjadi titik tolak bagi mencorakkan visi baharu yang lebih berani dan progresif.







#Jubli emas KOSAS #Koperasi Selangor #Suruhanjaya Koperasi Malaysia #Koperasi Serbaguna Anak-Anak Selangor