Samsung akan labur AS$3039.1 bilion dalam lima tahun akan datang

Samsung mengumumkan pelan pelaburan bernilai AS$309.1 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang sebagai usaha mempertingkat pelaburan domestik selepas perjanjian perdagangan Korea Selatan dengan Amerika Syarikat dimuktamadkan.
SEOUL: Gergasi teknologi Korea Selatan, Kumpulan Samsung mengumumkan pada Ahad pelan pelaburan bernilai 450 trilion won (AS$309.1 bilion) bagi tempoh lima tahun akan datang sebagai usaha mempertingkat pelaburan domestik selepas perjanjian perdagangan Korea Selatan dengan Amerika Syarikat (AS) dimuktamadkan, lapor Agensi Berita Yonhap.
Samsung Electronics Co., entiti utama dalam konglomerat terbesar negara itu, akan memulakan pembinaan kerangka satu daripada loji cipnya di kompleks utama Pyeongtaek, yang menempatkan operasi pembuatan semikonduktor Samsung, menurut syarikat berkenaan.
Keputusan itu, yang turut merangkumi pelan pelaburan untuk penyelidikan dan pembangunan, dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan ad hoc baru-baru ini, katanya.
Operasi pengeluaran cip baharu, Line 5, dijangka bermula secara komersial pada 2028, sekali gus membantu syarikat memenuhi peningkatan permintaan untuk cip memori berikutan lonjakan global kecerdasan buatan (AI).
Samsung SDS Co., unit teknologi maklumat Samsung, akan membina pusat data AI berskala besar di Wilayah Jeolla Selatan di barat daya negara itu. Pusat data AI itu menyasarkan memperoleh 15,000 unit pemproses grafik menjelang 2028 untuk disediakan kepada universiti, syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana.
Unit pembuatan bateri, Samsung SDI Co., sedang meneliti pembukaan kemudahan pengeluaran domestik untuk bateri generasi baharu, termasuk bateri keadaan pepejal sepenuhnya, berkemungkinan di Bandar Ulsan di tenggara negara itu.
Samsung Display Co. pula dijangka memulakan pengeluaran penuh tahun depan di kilang diod pemancar cahaya organik generasi 8.6 yang kini dalam pembinaan di wilayah tengah Chungcheong Selatan.
Pengumuman terbaharu itu dibuat selepas Korea Selatan memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan AS mengenai butiran pakej pelaburan bernilai AS$350 bilion di pasaran Amerika sebagai pertukaran untuk pengurangan tarif "timbal balas" AS kepada 15 peratus daripada 25 peratus.
Terdahulu pada Ahad, ketua-ketua konglomerat utama Korea Selatan, termasuk Samsung, SK dan Hyundai, bertemu Presiden Lee Jae Myung untuk membincangkan langkah susulan selepas perjanjian perdagangan itu, termasuk usaha mengekalkan aliran pelaburan domestik.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


