KUALA LUMPUR: Sapura Energy Bhd dan 22 anak syarikat milik penuhnya (syarikat skim) telah diberikan perintah bersidang dan sekatan baharu oleh Mahkamah Tinggi untuk tempoh tiga bulan, bermula 11 Mac 2024.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, perintah itu adalah di bawah Akta Syarikat 2016, yang membolehkan setiap syarikat skim itu memanggil mesyuarat dengan pemiutang bagi mempertimbang serta meluluskan cadangan skim pengaturan dan kompromi sebagai sebahagian daripada rancangan penstrukturan semula hutang.

"Perintah sekatan itu akan membantu syarikat skim untuk terlibat dengan pemiutang tanpa diganggu ancaman litigasi. Perintah bersidang dan sekatan sebelum ini yang diberikan pada 8 Mac (dan dilanjutkan pada 6 Jun 2023) ditetapkan untuk tamat pada 10 Mac,” katanya.

Sapura Energy dalam permohonannya kepada mahkamah berkata, kemajuan besar berjaya dicapai menerusi penstrukturan semula yang sedang berjalan.

Kumpulan itu menambah, pemberi pinjaman dengan sokongan pelbagai mata wang telah memberikan kelulusan secara prinsip yang diperlukan bagi skim penstrukturan semula yang dicadangkan, manakala tuntutan daripada pemiutang perdagangan melalui proses bukti hutang (POD) telah menjalani semakan menyeluruh.

Kesatria putihnya juga mengesahkan sokongannya terhadap penstrukturan semula itu. Perintah tersebut akan memberikan masa yang diperlukan kepada semua pihak untuk menyimpulkan terma dan syarat yang ditetapkan bagi memuktamadkan cadangan skim penstrukturan semula.

Langkah penstrukturan semula hutang Sapura Energy bertujuan untuk menangani pembiayaan pelbagai mata wang kira-kira RM10.8 bilion dan bayaran tertunggak kepada pemiutang perdagangan berjumlah kira-kira RM1.5 bilion.

"Seperti yang diumumkan sebelum ini, kami menghargai kelulusan secara prinsip daripada pembiaya kami untuk cadangan skim penstrukturan semula. Ini adalah perkara utama yang membolehkan kami meneruskan usaha ini," kata pengerusi Datuk Mohammad Azlan Abdullah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Enegery, Datuk Mohd Anuar Taib berkata, sokongan berkenaan penting bagi meningkatkan keyakinan terhadap hala tuju strategik syarikat ini dan pihaknya menghargai setiap sokongan bagi memastikan masa depan yang mampan kumpulan itu selepas pemulihan.

"Kami berterima kasih kepada semua pemiutang kami atas kesabaran mereka sepanjang penstrukturan semula hutang yang sangat kompleks ini.

"Walaupun menghadapi cabaran, kami tetap konsisten dan fokus dalam mencapai penyelesaian yang saksama dan bermanfaat untuk semua pihak yang terlibat, khususnya vendor Malaysia yang kecil dan sederhana dalam ekosistem industri tenaga," katanya.

Pada masa sama, kumpulan itu juga bekerjasama dengan penasihatnya bagi mengemukakan pelan penyusunan semula bagi menangani status syarikat di bawah Nota Amalan 17 (PN17). - DagangNews.com