BISNES

Sapura Energy tukar nama kepada Vantris Energy berkuat kuasa 1 Ogos

Bernama 01/08/2025 | 14:15 MYT
Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) secara rasmi telah menukar namanya kepada Vantris Energy Bhd berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
KUALA LUMPUR: Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) secara rasmi telah menukar namanya kepada Vantris Energy Bhd berkuat kuasa 1 Ogos 2025.

Penyedia penyelesaian dan perkhidmatan tenaga itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata ia menerima Sijil Penubuhan Pertukaran Nama daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, yang dikeluarkan di bawah Seksyen 28 Akta Syarikat 2016.

Pertukaran nama itu adalah susulan pengumuman awal bertarikh 7 Julai 2025 dan surat pekeliling kepada pemegang saham yang dikeluarkan pada 8 Julai.

Dalam satu kenyataan berasingan, Sapura Energy berkata pertukaran nama itu bertepatan dengan pelaksanaan cadangan pelan penyusunan (PRP) syarikat itu, yang menerima kelulusan lebih 99 peratus pemegang saham, mencerminkan sokongan kukuh terhadap pemulihan kumpulan.

PRP itu yang diluluskan oleh Bursa Malaysia pada Jun 2025, mengandungi empat komponen utama: penstrukturan semula modal, penstrukturan semula hutang, pengumpulan dana dan cadangan pengecualian.

Sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula hutang, jumlah pinjaman akan dikurangkan daripada RM10.8 bilion kepada kira-kira RM5.6 bilion, menyebabkan unjuran pengurangan lebih RM500 juta dalam perbelanjaan faedah.

Pelepasan nilai yang ketara ini meletakkan syarikat untuk kembali mencatatkan keuntungan dan membina keyakinan semula dengan pelanggan dan pembiaya.

Katanya, Malaysia Development Holding Sdn Bhd akan melanggan sehingga RM1.1 bilion dalam stok pinjaman boleh tukar boleh tebus sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengumpul dana.

"Perolehan akan digunakan untuk menyelesaikan pembayaran tertunggak kepada vendor minyak dan gas Malaysia, sekali gus mengesahkan komitmen kumpulan terhadap ekosistemnya," katanya.

-- BERNAMA

#Sapura Energy tukar nama #Vantris Energy #berkuat kuasa 1 Ogos #Suruhanjaya Syarikat Malaysia