Sarawak tarik lebih RM15 bilion pelaburan 2020

Astro Awani
Disember 10, 2021 03:55 MYT
KUCHING: Sarawak mampu menarik pelaburan lebih RM15 bilion pada tahun 2020 walaupun negara berdepan pandemik COVID-19.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kehadiran pelaburan luar itu susulan keyakinan pelaburan kepada kestabilan politik dan ekonomi di negeri itu.
"Para pelabur luar ini yakin dengan Sarawak. Keyakinan itu disandarkan dengan keupayaan Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mentadbir negeri ini dan ekonomi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Lawatan ke Zon Perindustrian Sama Jaya, Kuching pada Jumaat.
Selain itu, Awang Tengah berkata, usaha empat syarikat yang menaik taraf dan mengembangkan syarikat masing-masing di Zon Industri Sama Jaya membawa pulangan pelaburan RM6.31 bilion.
Katanya, ia turut memberi peluang pekerjaan kepada anak Sarawak.
Melihat kepada peningkatan pelaburan luar, Awang Tengah berkata, Kerajaan Sarawak sudah mengenal pasti tapak baharu seluas 1,000 ekar di Samarahan bagi tujuan naik taraf Taman Teknologi Tinggi.
"Pembukaan tapak baharu ini adalah usaha menarik lebih banyak pelabur melabur di Sarawak," katanya.
#pelaburan #FDI #Awang Tengah Ali Hasan #Pandemik COVID-19