'Satu, Dua, Tiga JOM!', Malaysia Airlines tampil dengan video keselamatan baharu bertemakan muzikal

Astro Awani
Jun 22, 2022 09:24 MYT
Majlis Pelancaran Rasmi Video Keselamatan Dalam Penerbangan MAS baharu yang diadakan di Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Memasuki fasa peralihan ke endemik, syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines (MAS) menampilkan video keselamatan dalam penerbangan baharu yang bertemakan muzikal.
Video berjudul ‘Satu Dua Tiga, JOM!’ arahan Puan Seri Tiara Jacquelina dan dibantu oleh Datuk Yusry Abdul Halim itu memberikan satu nafas baharu untuk MAS.
Ini kerana buat pertama kalinya, video keselamatan dalam penerbangan yang dipamerkan setiap kali sebelum berlepas itu dpersembahkan dalam bentuk nyanyian dan tarian oleh lebih 150 kru dan pelakon.
Video kolaborasi bersama Enfiniti Enfiniti (M) Sdn Bhd itu menampilkan gandingan figura terkenal seperti pelakon Datin Lisa Surihani, gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi, Miss Universe Malaysia Francisca Luhong, Ahli Astrofizik Malaysia, Profesor Emerita Datuk Seri Mazlan Othman, Pengasas Mercy Malaysia, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan ramai lagi termasuk sekumpulan pramugari syarikat penerbangan itu.
Menurut Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan MAS, Lau Yin May, MAS sememangnya bersedia untuk beroperasi dengan kekuatan penuh setelah fasa peralihan ke endemik diumumkan sebelum ini.
Untuk itu, video keselamatan yang penuh dengan adegan menghiburkan itu adalah sebahagian usaha baharu untuk meraikan Malaysia selain membawa nama dan budaya Malaysia ke mata dunia sempena fasa peralihan ke endemik, ujarnya pada Majlis Pelancaran Rasmi Video Keselamatan Dalam Penerbangan MAS itu yang diadakan di ibu negara pada Selasa.
Video itu bakal ditayangkan di seluruh penerbangan MAS bermula Ogos tahun 2022.
#Malaysia Airlines #Satu dua tiga JOM #Tiara Jacquelina #fasa peralihan endemik