SC, Bursa tamatkan semakan sementara pengurusan pasaran, mekanisme kawalan

Bernama
Mei 10, 2021 20:07 MYT
Semakan sementara terhadap mekanisme kawalan dan pengurusan pasaran telah dilaksanakan sejak 20 Julai 2020 serta dijadualkan berakhir pada 30 Mei 2021. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia akan menetapkan semula mekanisme kawalan dan pengurusan pasaran iaitu had harga dinamik serta statik bagi saham komponen FBM KLCI dan paras pencetus Pemutus Litar Bursa Malaysia kepada parameter asal mereka menjelang 31 Mei ini.
Kedua-dua pengawal selia itu dalam satu kenyataan bersama berkata keputusan untuk menginstitusikan semula parameter asal dibuat selepas mengambil kira peningkatan prospek ekonomi dengan pelancaran program vaksinasi COVID-19 termasuk keadaan pasaran global yang semakin normal.
''Semakan sementara terhadap mekanisme kawalan dan pengurusan pasaran telah dilaksanakan sejak 20 Julai 2020 serta dijadualkan berakhir pada 30 Mei 2021.
''SC dan Bursa Malaysia akan terus memantau rapat perkembangan global dan mengambil pendekatan berhemat dalam melaksanakan langkah-langkah yang perlu bagi menyokong pasaran yang adil serta teratur,'' katanya.
Semakan sementara paras pemutus litar kepada dua tahap pencetus (10 peratus dan 15 peratus sahaja) akan kembali ke tiga tahap pencetus (10 peratus, 15 peratus serta 20 peratus).
Untuk had harga statik, harga had yang lebih rendah akan kembali kepada -30 peratus daripada -15 peratus dan had atas kepada 30 peratus bagi harga sekuriti yang sama atau lebih daripada RM1 dan had lebih rendah kepada -30 sen daripada -15 sen serta had atas kepada 30 sen bagi harga sekuriti kurang daripada RM1.
- BERNAMA
#Suruhanjaya Sekuriti Malaysia #SC #Bursa Malaysia #fbm klci #Pemutus Litar Bursa Malaysia #mekanisme kawalan dan pengurusan pasaran #program vaksinasi #COVID-19 #had harga dinamik serta statik