SC keluarkan rangka kerja Taksonomi SRI menjelang akhir tahun 2022

Bernama
Jun 22, 2022 04:27 MYT
Awang Adek berkata SC sedang memuktamadkan Taksonomi SRI berikutan kertas perundingan awam yang dikeluarkan pada Disember tahun lepas. - Foto Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan mengeluarkan rangka kerja Taksonomi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) menjelang akhir tahun ini.
Rangka kerja itu akan bertindak sebagai prinsip panduan untuk mengenal pasti dan mengklasifikasikan aktiviti ekonomi yang menyokong objektif alam sekitar, sosial dan kemampanan.
Pengerusi Eksekutif Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata SC sedang memuktamadkan Taksonomi SRI berikutan kertas perundingan awam yang dikeluarkan pada Disember tahun lepas.
"Kami akan meneruskan agenda SRI untuk fasa pembangunan pasaran seterusnya.
"Ini jelas dinyatakan dalam Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) kami. SRI, berserta pasaran modal Islam (ICM) akan memainkan peranan penting dalam mempercepatkan peralihan kepada ekonomi pemegang kepentingan yang mampan dan inklusif,'' katanya.
Beliau berkata demikian semasa Persidangan Maya SRI 2022 bertajuk 'Preserving the Climate through Sustainable Business and Living'.
Beliau berkata SC berhasrat mengembangkan rangkaian produk dan perkhidmatan untuk kewangan sosial Islam dan pelaburan berimpak, selaras dengan prinsip SRI.
"SC juga akan membangunkan rangka kerja untuk instrumen berasaskan pasaran bagi membolehkan kewangan peralihan di Malaysia. Ini akan meningkatkan pilihan pembiayaan untuk syarikat pada pelbagai peringkat perjalanan kemampanan mereka,'' kata Awang Adek.
Beliau berkata hala tuju pelaburan mampan Malaysia bermula seawal 2014 apabila Rangka Kerja Sukuk SRI SC diperkenalkan, yang membolehkan dana dikumpul untuk membiayai pelbagai projek hijau, bermanfaat dari segi sosial dan mampan.
Sehingga kini, sejumlah RM8.3 bilion Sukuk SRI telah dikeluarkan di bawah rangka kerja ini.
Di samping itu, garis panduan mengenai Dana SRI telah dilancarkan pada 2017 untuk memudahkan pertumbuhan dana Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di Malaysia.
Sehingga 2021, 34 dana SRI telah dilancarkan, menawarkan peluang kepada pelabur borong dan runcit untuk melabur dalam dana-dana yang fokus pada ESG konvensional dan patuh Syariah.
''Perniagaan hari ini berhadapan jangkaan yang semakin meningkat daripada pihak berkepentingan dan komuniti yang mereka memberikan perkhidmatan. Malah, mereka sedang dinilai mengenai komitmen kemampanan dan pengendalian isu sosial mereka.
"Penyelidikan terkini oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) mendapati 94 peratus daripada 50 syarikat senaraian awam (PLC) teratas Malaysia mempunyai strategi ESG,'' katanya.
Beliau menambah amalan perniagaan yang mampan dan inklusif bukan sahaja memberi manfaat kepada pemegang saham tetapi semua pihak berkepentingan.
Justeru, lembaga pengarah dan pengurusan mesti mengetuai dan memastikan kemampanan adalah teras strategi dan operasi perniagaan.
''Paling penting, pelabur juga mesti memainkan peranan mereka dengan menyoroti kredibiliti komitmen korporat dan membentuk naratif ke hadapan. Pastinya, kemajuan sudah pasti dicapai tetapi perjalanan masih panjang,'' kata Awang Adek.
Beliau berkata pada masa hadapan, kunci untuk mengurus peralihan kepada masa depan yang lebih mampan dan lebih hijau ialah ketersediaan pembiayaan dan dorongan untuk perubahan.
"Perubahan mampan memerlukan pelaburan dalam teknologi baharu dan penyelesaian inovatif.
"Instrumen pembiayaan dan pengurusan risiko berasaskan pasaran dilengkapi dengan baik untuk memudahkan usaha awam dan swasta dalam pengurangan dan peralihan iklim,'' katanya.
Beliau menambah Bloomberg Intelligence telah menganggarkan aset berkaitan ESG global di bawah pengurusan berkembang kepada US$50 trilion menjelang 2025, terutamanya didorong oleh aliran masuk dana yang tertumpu pada perubahan iklim.
-- BERNAMA
#Suruhanjaya Sekuriti Malaysia #SC #Taksonomi SRI #Awang Adek