PUCHONG: Konvensyen teknologi utama Selangor kembali dengan wajah baharu apabila Selangor Smart City & Digital Economy Convention (SDEC) dijenama semula sebagai AiSEM@Selangor, Selangor AI & Semiconductor Summit dengan tumpuan lebih khusus terhadap kecerdasan buatan (AI) dan industri semikonduktor.
Memasuki edisi ke-11, AiSEM@Selangor berlangsung dari 14 hingga 17 Oktober 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dan Grand Hyatt Kuala Lumpur, sebagai antara komponen utama Selangor International Business Summit (SIBS) 2026.
Bertemakan “Designed By Malaysia: Building a Globally Competitive AI Semiconductor Ecosystem”, acara anjuran Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) bersama Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) itu memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem AI dan semikonduktor yang direka serta diperkasa di Malaysia.
Selepas sedekad dikenali sebagai SDEC yang menumpukan kepada bandar pintar dan ekonomi digital, penjenamaan baharu itu mencerminkan tumpuan Selangor terhadap dua teknologi yang semakin penting kepada industri global, termasuk pembangunan cip tempatan untuk aplikasi robotik, sistem autonomi serta ekonomi altitud rendah dan orbit rendah.
Persidangan selama dua hari itu akan menampilkan lebih 60 penceramah antarabangsa, termasuk Dr Chiang Shang Yi, bekas Ketua Pegawai Operasi Bersama TSMC; June Paik, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat cip AI Korea, FuriosaAI; Robert Li, Naib Presiden Global dan Pengerusi Synopsys Taiwan; Umar Shah, Ketua Penyelesaian Awan bagi Semikonduktor dan Teknologi Tinggi di Amazon Web Services (AWS); serta Yon Wui Ng, Ketua Pegawai Eksekutif TCab Tech.
Antara perkara yang akan dibincangkan termasuk reka bentuk cip, infrastruktur AI, pembangunan bakat dan pelaburan rentas sempadan dengan aspirasi memperkukuh ekosistem semikonduktor yang bukan sahaja dipasang di Malaysia, tetapi turut direka dan dibangunkan dalam negara.
Pada masa sama, lebih 150 pempamer teknologi akan mengisi ruang pameran, merangkumi pemain dalam rantaian bekalan AI dan semikonduktor, termasuk Intel, Sandisk, Oppstar, SkyeChip dan Maistorage Technology, selain agensi seperti MIDA dan MRANTI serta pihak berkuasa tempatan Selangor.
Bagi pencari kerja pula, Malaysia Semiconductor Recruitment Day akan menghimpunkan lebih 50 majikan industri, termasuk Sandisk, Sophic MSC dan Tektronix, bagi mempertemukan bakat kejuruteraan serta teknikal daripada pelajar hingga profesional berpengalaman dengan pemain industri.
Acara itu turut merangkumi Grand Final Demo Day Selangor Triple Accelerator Programme 2026 pada 14 Oktober di Plenary Theatre, KLCC, yang akan menampilkan 24 finalis daripada tiga trek, iaitu Deep-X, Retail-X dan Token-X.
Program berkenaan setakat ini telah melaksanakan 11 kohort, menerima hampir 1,900 permohonan dan menyokong 380 syarikat yang secara kolektif mengumpul RM212 juta pembiayaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sidec, Yong Kai Ping berkata, penjenamaan semula itu mencerminkan komitmen Selangor untuk membangunkan ekosistem AI dan semikonduktor yang berdaya saing di peringkat global, dengan menghimpunkan bakat, teknologi serta pelaburan dalam satu platform.
“Membina ekosistem AI dan semikonduktor yang berdaya saing di peringkat global bukan sekadar slogan bagi kami, tetapi itulah usaha yang sedang kami lakukan.
“Selangor melihat dirinya sebagai sebahagian daripada agenda semikonduktor negara dan AiSEM direka oleh Malaysia, untuk Malaysia merupakan sumbangan kami dalam mencorakkan agenda tersebut dengan menghimpunkan bakat, teknologi dan pelaburan dalam satu ruang, pada minggu yang sama,” katanya menerusi sebuah kenyataan mediq.
AiSEM@Selangor turut menampilkan pameran dan pertunjukan teknologi dari 14 hingga 17 Oktober, persidangan AI dan semikonduktor pada 15 dan 16 Oktober, serta Malaysia Semiconductor Recruitment Day dari 15 hingga 17 Oktober.
Penyertaan ke pameran dan Malaysia Semiconductor Recruitment Day adalah percuma, manakala pas persidangan ditawarkan pada RM399 bagi pas dua hari atau RM299 bagi pas sehari.
Maklumat lanjut mengenai AiSEM@Selangor boleh diperoleh menerusi laman rasmi Sidec di https://www.sidec.com.my/