KUANTAN: ECRL Operation Sdn Bhd (EOSB) menawarkan 65 ruang niaga dan 35 pakej pengurusan fasiliti kepada usahawan dan kontraktor tempatan di sepanjang jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sempena penganjuran Jelajah Usahawan dan Kontraktor Perkhidmatan Sokongan ECRL baru-baru ini.
Menurut syarikat pengoperasian dan penyelenggara ECRL itu, ruang niaga seperti kiosk dan “pushcart” atau troli jualan akan disediakan di stesen-stesen ECRL bagi menawarkan produk makanan dan minuman, barangan runcit dan keperluan perjalanan, produk tempatan dan cenderamata serta perkhidmatan berkaitan penumpang.
“Sementara itu, sebanyak 35 pakej pengurusan fasiliti telah dikenal pasti untuk ditawarkan kepada kontraktor tempatan dengan nilai keseluruhan kontrak dianggarkan sebanyak RM12.70 juta untuk 2027.
“Pakej (pengurusan fasiliti) berkenaan merangkumi perkhidmatan pembersihan premis, penyelenggaraan landskap, kawalan makhluk perosak, penyelenggaraan am bangunan dan penyelenggaraan sistem penyaman udara akan melalui proses perolehan yang ditetapkan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
EOSB menganjurkan jelajah itu pada 28 September hingga 2 Okt 2026, melibatkan lima lokasi di sepanjang jajaran ECRL iaitu Pasir Puteh di Kelantan; Marang dan Dungun di Terengganu; serta Temerloh dan Kuantan di Pahang.
Menurut kenyataan itu, jelajah tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta kontraktor tempatan mengenai peluang perniagaan dan pengurusan fasiliti dalam ekosistem pengoperasian ECRL.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EOSB Mohd Zaidi Sharif dalam kenyataan sama berkata penglibatan usahawan dan kontraktor tempatan merupakan komponen penting dalam membentuk ekosistem pengoperasian ECRL yang kukuh dan mampan.
“Pengoperasian rangkaian ECRL memerlukan sokongan daripada pelbagai penyedia perkhidmatan bagi memastikan stesen, bangunan dan fasiliti sentiasa berada dalam keadaan selamat, bersih, selesa dan berfungsi dengan baik.
“Melalui jelajah ini, EOSB dapat mendekati komuniti usahawan dan kontraktor tempatan di sepanjang jajaran ECRL serta memberikan maklumat yang lebih jelas mengenai peluang yang tersedia, syarat penyertaan dan proses pemilihan,” katanya.
Penyertaan usahawan tempatan juga dijangka dapat mengetengahkan produk dan identiti negeri jajaran ECRL, memperkayakan pengalaman penumpang serta mewujudkan ruang ekonomi baharu di stesen ECRL, seterusnya dapat meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat.
Majlis pelancaran jelajah berkenaan disempurnakan oleh Mohd Zaidi di Dewan Utama Majlis Daerah Marang, Terengganu pada Selasa lepas, dengan jelajah itu menerima sambutan yang menggalakkan.
Jelajah itu memperlihatkan komitmen EOSB untuk membangunkan ekosistem pengoperasian rel yang inklusif, berdaya tahan dan mampan, dengan inisiatif ini turut menyokong aspirasi ECRL sebagai pemangkin pembangunan ekonomi serta penghubung strategik antara Pantai Timur dengan Lembah Klang.
-- BERNAMA