Sektor eksport, penggunaan modal insan perlu diberi tumpuan pulih ekonomi - Pakar ekonomi

Raja Hisyam Raja Zaid
September 10, 2021 09:56 MYT
Sektor eksport, perkhidmatan dan sumber tenaga perlu diberi penekanan dalam konteks pemulihan ekonomi negara. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Industri yang terbabit dalam sektor eksport sama ada secara langsung mahupun sebaliknya, adalah antara yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan dalam usaha pemulihan ekonomi negara.
Menurut Profesor Emeritus Borjayai Bardai, sektor berkenaan amat penting di negara ini kerana menyumbang kepada 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Ia termasuk industri-industri seperti elektronik, solar, sarung tangan, minyak dan lain-lain," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI hari ini.
Panggilan Video | Mengenal pasti sektor ekonomi perlukan perhatian utama
Beliau berkata, dalam pada itu kerajaan tidak boleh mengabaikan mengabaikan peniaga kecil termasuk termasuk sektor perkhidmatan.
“Ia termasuklah dalam industri pelancongan yang melibatkan pengusaha-pengusaha chalet, pengangkutan, perkhidmatan perubatan selain kewangan," katanya.
Selain itu, industri yang membabitkan pengeluaran sawit juga antara yang seharusnya diberikan fokus.
Jelasnya walaupun ia hanya menyumbang sekitar tujuh peratus kepada KDNK, namun trend peningkatan harganya ketika ini mampu membantu merancakkan hasil ekonomi negara.
Negara juga katanya, perlu melihat kepentingan penggunaan sumber tenaga yang kini menjadi keperluan.
“Jika kita lihat, ketika ini terdapat lebih 700,000 graduan yang tidak memiliki pekerjaan. Adalah lebih baik jika kita libatkan mereka dalam sektor robotik mudah yang membabitkan industri makro,” katanya.
Dalam pada itu, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) juga katanya perlu menjadi penanda aras yang baharu yang perlu menekankan modal sumber manusia untuk dimanfaatkan untuk merangsang ekonomi pada masa depan.
#sektor eksport #pemulihan ekonomi #modal insan #Borjayai Bardai