Industri hartanah Malaysia dijangka menyaksikan peningkatan pada tahun depan disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang lebih baik, kata Timbalan Menteri Kewangan Kedua Datuk Lee Chee Leong.

Beliau berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka meningkat antara empat dan lima peratus pada tahun depan, lebih baik berbanding anggaran pertumbuhan pada tahun ini sebanyak empat dan 4.5 peratus.

"Memandangkan Malaysia adalah ekonomi terbuka, kita juga mengikut pergerakan ekonomi global," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kediaman gaya resort, Lavile Condominium, di sini hari ini.

Lee berkata dengan unjuran KDNK negara akan naik pada tahun depan susulan peningkatan harga komoditi, seperti minyak dan gas, pasaran hartanah turut dijangka meningkat.

Statistik daripada Pusat Maklumat Hartanah Negara menunjukkan dari Januari hingga September 2016, nilai transaksi hartanah di Kuala Lumpur susut sebanyak 19.1 peratus tahun ke tahun kepada RM2.05 bilion.

Bagi tempoh sama, sektor itu juga menyaksikan kuantitinya merosot 22.3 peratus kepada 2,599 unit daripada 3,347 unit dicatatkan pada tempoh sama tahun lepas.

"Segmen kediaman menguasai pasaran, iaitu sebanyak 49.6 peratus daripada jumlah kuantiti transaksi, diikuti rumah teres dua hingga tiga tingkat (13.7 peratus), flat kos rendah (11 peratus) dan flat (10.9 peratus)," katanya.

Terdahulu, Lee berkata, dianggarkan sekurang-kurangnya 941,446 unit hartanah strata, termasuk kondominium dan pangsapuri, akan siap di seluruh negara pada akhir tahun.

"Jumlahnya meningkat setiap tahun dan trend kini lebih kepada kualiti hidup.

"Ini bermakna pembeli kini lebih tertumpu kepada aspek nilai tambah seperti keselamatan, privasi, ruang letak kenderaan bertutup, taman landskap dan lain-lain," katanya.

-- BERNAMA