Skip to main content

Bisnes

Selangor cipta 43,998 pekerjaan, perkukuh ekosistem PKS melalui LBC

INVEST SELANGOR LBC
Dari Kiri: Danial, Aminar, Ng, dan Ketua Pegawai Eksekutif, Invest Selangor Berhad Datuk Hasan Azhari Idris pada program Local Business Connect @ DUN Batu Tiga di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam. - Gambar Invest Selangor

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh ekosistem perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan setempat menerusi penganjuran program Local Business Connect (LBC) @ DUN Batu Tiga yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, di sini hari ini.

Program anjuran Invest Selangor Berhad dengan kerjasama Pejabat DUN Batu Tiga itu menjadi platform strategik bagi menghubungkan pelabur dan syarikat multinasional dengan usahawan tempatan, selain menyediakan akses terus kepada peluang kerjaya untuk komuniti setempat.

Advertisement

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, Ng Sze Han berkata Selangor kekal sebagai nadi ekonomi negara apabila menyumbang 26.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2024, dengan pertumbuhan tersebut diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat melalui penciptaan pekerjaan berkualiti.

“Keyakinan pelabur terhadap ekosistem Selangor yang kukuh telah membolehkan kita merekodkan penciptaan 43,998 peluang pekerjaan bagi tempoh Januari hingga September 2025. Ini adalah jumlah tertinggi di Malaysia, sekali gus membuktikan kejayaan dasar kerajaan negeri dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi,” katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid.

Ng berkata program LBC berperanan sebagai pemangkin kesan limpahan ekonomi kepada perniagaan tempatan apabila syarikat multinasional dan pelabur memerlukan rantaian sokongan yang kukuh termasuk pembekal tempatan, logistik dan perkhidmatan profesional.

“Melalui sesi jaringan dan padanan perniagaan hari ini, kita mahu memastikan usahawan tempatan bukan sekadar menjadi pemerhati, tetapi menjadi rakan strategik dalam rantaian nilai ekonomi Selangor,” tambahnya.

Sementara itu, Danial menyifatkan penganjuran program berkenaan sebagai peluang keemasan kepada usahawan dan pencari kerja di kawasan Batu Tiga untuk memperluas jaringan serta mendapatkan akses terus kepada peluang pekerjaan.

“Inisiatif ini berjaya mengumpulkan seramai 250 peserta yang terdiri daripada usahawan, pelabur dan pemain industri. Saya amat berbesar hati melihat program ini turut disokong oleh agensi seperti PERKESO, yang membawakan peluang pekerjaan terus kepada penduduk Batu Tiga melalui pameran kerjaya,” ujarnya.

Tambahnya, program tersebut selaras dengan hasrat untuk memastikan lebih ramai penduduk tempatan memperoleh pekerjaan yang stabil dan berpendapatan baik, di samping membantu usahawan tempatan menembusi pasaran yang lebih luas.

Program itu turut mendapat kerjasama strategik daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Yayasan Hijrah Selangor serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), mencerminkan pendekatan menyeluruh kerajaan negeri dalam memperkukuh daya tahan ekonomi tempatan.

Must Watch Video