Skip to main content

Bisnes

Selangor Triple Accelerator: 90 startup berentap, 24 mara ke pentas akhir

Sumber: SIDEC
Grand Final Demo Day Selangor Triple Accelerator Programme 2026 berlangsung dari 18 hingga 20 Ogos lalu di Kuala Lumpur. - Foto Sidec
Advertisement

KUALA LUMPUR: Selepas tiga hari mempertaruhkan idea, produk dan model perniagaan masing-masing, 90 startup kini disaring kepada 24 finalis bagi merebut tempat di Grand Final Demo Day Selangor Triple Accelerator Programme 2026.

Program anjuran Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (Sidec) itu berlangsung dari 18 hingga 20 Ogos lalu di Kuala Lumpur, menghimpunkan 30 startup bagi setiap tiga trek iaitu, Token-X untuk Web3, blockchain dan fintech; Deep-X bagi kecerdasan buatan (AI), teknologi kesihatan dan agroteknologi; serta Retail-X yang memfokuskan runcit, e-dagang dan teknologi pengguna.

Menerusi Showcase Days, setiap pengasas diberikan 10 minit untuk membentangkan perniagaan masing-masing, diikuti sesi soal jawab secara langsung selama 10 minit bersama pakar industri dan rakan ekosistem.

Pemilihan finalis dibuat berdasarkan gabungan penilaian juri dan undian penonton, selain kesemua 90 startup berpeluang mempamerkan produk serta demonstrasi secara langsung kepada peserta, pelabur dan rakan industri.

Image
Sumber: SIDEC
Lapan finalis terbaik daripada setiap trek akan diumumkan pada pertengahan September, sebelum 24 finalis itu bersaing di Grand Final Demo Day pada 14 Oktober 2026. - Foto Sidec

Persiapan peserta turut diperkasa menerusi bimbingan Super Mentors bagi setiap trek, termasuk sesi pendedahan antarabangsa untuk peserta Deep-X melalui lawatan ke Singapura, termasuk ibu pejabat Google Asia Pasifik dan Stage One.

Bagi trek Retail-X pula, peserta menerima bimbingan serta pendedahan industri menerusi lawatan ke ZALORA dan Lapasar, manakala peserta Token-X dibimbing oleh pakar dalam bidang Web3, blockchain dan pembangunan ekosistem.

Lapan finalis terbaik daripada setiap trek akan diumumkan pada pertengahan September, sebelum 24 finalis itu bersaing di Grand Final Demo Day pada 14 Oktober 2026 di Plenary Theatre, Kuala Lumpur Convention Centre, bersempena AI & Semiconductor Summit (AiSEM@Selangor).

Sebanyak 12 pemenang akan dipilih daripada ketiga-tiga program, dengan setiap pemenang menerima perjalanan antarabangsa, akses kepada peluang pelaburan dan rangkaian, serta trofi dan sijil.

Image
Sumber: SIDEC
Pelbagai reruai menarik pada Grand Final Demo Day Selangor Triple Accelerator Programme 2026. - Foto Sidec

Juara bagi setiap trek turut menerima hadiah wang tunai RM20,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Sidec, Yong Kai Ping, berkata Showcase Days mencerminkan komitmen Sidec dalam menyediakan platform, hubungan dan peluang yang membantu pengasas membawa perniagaan mereka ke tahap seterusnya.

“Di Sidec, kami percaya peranan kami melangkaui usaha menyokong startup, ia adalah mengenai mewujudkan platform, hubungan dan peluang yang membantu pengasas bergerak ke hadapan.

“Showcase Days mencerminkan komitmen ini dengan memberikan startup kami ruang untuk mempamerkan perniagaan mereka dan berhubung dengan ekosistem yang lebih luas.

“Kami berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka ketika mereka membawa usaha niaga masing-masing ke tahap seterusnya,” katanya menerusi sebuah kenyataan media.

Sidec turut merakamkan penghargaan kepada semua juri, peserta, rakan kongsi dan penonton yang menjayakan Showcase Days, termasuk AFFIN sebagai Strategic Banking Partner dan Fiuu sebagai Strategic Payment Partner.

Image
Sumber: SIDEC
Grand Final Demo Day Selangor Triple Accelerator Programme 2026 menjadi bukti kesungguhan Sidec dalam melahirkan startup berkemahiran tinggi dalam kalangan tempatan. - Foto Sidec

Sokongan turut diterima daripada Plug and Play APAC, CCACC, EasyStore, Microsoft, Exabytes dan GoFluence.

24 finalis dikenal pasti dan kini tumpuan seterusnya beralih kepada pentas akhir pada Oktober yang bakal menentukan 12 startup terbaik daripada tiga trek Selangor Triple Accelerator Programme 2026.

Must Watch Video

Advertisement