Serba Dinamik diminta patuh arahan Bursa Malaysia

Bernama
Jun 29, 2021 21:15 MYT
Serba Dinamik Holdings Bhd (SDHB) telah dimaklumkan oleh pihak Bursa Malaysia bahawa sebarang kegagalannya mematuhi arahan bursa untuk mengadakan semakan semula bebas khas adalah pelanggaran terhadap ketetapan penyenaraian di pasaran itu.
KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd (SDHB) telah dimaklumkan oleh pihak Bursa Malaysia bahawa sebarang kegagalannya mematuhi arahan bursa untuk mengadakan semakan semula bebas khas adalah pelanggaran terhadap ketetapan penyenaraian di pasaran itu.
Menurut syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu, pihak bursa yang juga pengawal selia pasaran saham turut memberi peringatan bahawa ia boleh mengambil tindakan sewajarnya terhadap Serba Dinamik atau pengarah-pengarahnya.
Dalam makluman kepada bursa pada Selasa, Serba Dinamik berkata ia telah disyaratkan untuk melantik satu firma perakaunan antarabangsa atau firma berkaitan dengan gabungan antarabangsa yang mempunyai sumber mencukupi bagi menjalankan semakan semula bebas menjelang 2 Julai, 2021, bagi menangani kebimbangan dibangkitkan oleh KPMG PLT dalam pembentangan kepada pihak lembaga pada 3 Mei, 2021.
Serba Dinamik berkata ia juga perlu memastikan bahawa firma itu atau sekutunya yang dilantik, "wujud di Bahrain dan lokasi antarabangsa lain dengan kehadiran pelanggan serta pembekal sepertimana dibangkitkan oleh KPMG PLT pada 3 Mei, 2021."
Malah, Bursa Malaysia juga berhak untuk memperluas serta melanjutkan skop tugasan semakan semula bebas khas tersebut, demikian menurut kenyataan bursa.
Serba Dinamik turut disyaratkan untuk membuat laporan terus kepada Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia secara berkala mengenai perkembangan semakan itu serta hasil dapatannya apabila selesai kelak.
Sebelum arahan Bursa Malaysia itu, Serba Dinamik telah mengumumkan dan mengesahkan persetujuan EY menjadi penilai bebas yang tertakluk kepada syarat, terutamanya melibatkan keperluan kerjasama KPMG PLT bagi kemudahan serta kelancaran semakan semula tersebut.
Semalam, Serba Dinamik menerusi kenyataannya kepada bursa, berkata EY telah menerima pelantikan tersebut bagi menyemak kesahihan dan ketepatan perkara-perkara dibangkitkan oleh KPMG PLT yang juga bekas juruaudit luar syarikat itu.
Serba Dinamik juga telah bersetuju dengan syarat ditetapkan EY bagi memastikan sesi libat urus terbabit dapat dijalankan secara bebas serta objektif demi manfaat semua pihak berkepentingan.
Pada akhir dagangan bursa pada Selasa, saham Serba Dinamik susut setengah sen kepada 32 sen dengan sejumlah 834.88 juta saham diniagakan.
-- BERNAMA
#Serba Dinamik #Bursa Malaysia #SDHB #semakan semula bebas khas #KPMG PLT #EY