KUALA LUMPUR: Dua projek perikanan berskala besar di bawah Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) bakal menarik kira-kira RM600 juta pelaburan selain bakal menyediakan lebih 7,000 pekerjaan dalam tempoh 10 tahun di daerah itu.

Menurut Ketua Divisyen dan Kewangan MBI Selangor, Zannifa Azura Ahmad, dengan kerjasama penduduk setempat dan konsortium yang terlibat, SABDA akan berusaha untuk meningkatkan serta menambah baik kemudahan pelabuhan kepada lebih sistematik.

“Dengan penambahbaikan ini, kapasiti untuk pelabur akan bertambah, membolehkan lebih banyak kapal masuk tanpa perlu menunggu.

“Ini juga akan memastikan kualiti hasil tangkapan terjaga dengan baik," katanya.

Projek-projek ini katanya melibatkan Sungai Lang dan Sungai Sekinchan di Sabak Bernam.

Antara inisiatif SABDA di Sungai Lang adalah untuk mengimport tuna dan hasil tangkapan laut ke dalam pelabuhan yang akan ditingkatkan infrastrukturnya agar dapat menerima kapal-kapal besar dari Lautan Hindi.

Tambahnya lagi, SABDA akan membina kapal pemprosesan dan pakej yang sesuai untuk menjaga kualiti hasil tangkapan.

Manakala di Sungai Sekinchan pula, SABDA akan memberi tumpuan untuk mewujudkan tempat pelaburan berintegrasi dan menambah baik kemudahan pelabuhan secara berperingkat.

"Kami memberi tumpuan kepada pelabuhan kerana ingin menjadikan sektor perikanan lebih sistematik.

"SABDA juga ingin memastikan agar sumber sentiasa terkawal serta mampu menjaga ekologi dan kehidupan marin", kata Azura.

Beliau berkata demikian semasa ditemu bual oleh Astro AWANI di Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023.

SIBS 2023 dengan tema Selangor Pintu Masuk ke ASEAN berlangsung selama empat hari bermula 19 Oktober hingga 22 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Niaga AWANI: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor buka tirai