KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd (Sime Darby) menjangka permintaan untuk kereta mewah kekal kukuh dalam pasaran walaupun dalam keadaan tidak menentu dalam persekitaran fasa endemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Jeffri Salim Davidson berkata permintaan itu disokong oleh golongan kelas menengah atas yang berkembang maju kerana mereka mempunyai lebihan pendapatan boleh guna dalam pasaran ia beroperasi.

"Mereka mempunyai wang untuk dibelanjakan dan dibelanjakan untuk kereta mewah," katanya dalam taklimat media mengenai keputusan suku kedua kumpulan itu yang berakhir 31 Disember, 2021 bagi tahun kewangan 2022.

Bagaimanapun, beliau berkata kumpulan itu menghadapi masalah bekalan dalam sektor automotif seperti kekurangan cip kerana pengeluarnya di Jerman bergantung kepada cip dari Korea Selatan, Malaysia dan Taiwan untuk pembuatan kenderaan tersebut.

"Selain itu, susulan daripada pemulihan yang kukuh dalam pelbagai industri di negara seperti Amerika Syarikat (AS), mereka mengimport alat ganti dalam jumlah yang banyak ke pasaran mereka. Ini bermakna terdapat kekurangan bekalan untuk seluruh dunia," kata Jeffri.

Menurutnya keadaan itu hanya sementara sahaja kerana pemulihan akan berlaku walaupun ia akan mengambil masa kira-kira enam bulan atau lebih

"Walaupun berdepan kekangan, saya berpendapat Sime Darby dapat menjual kereta dalam jumlah yang mencukupi di pasaran," katanya.

Selain itu, beliau juga tidak melihat sebarang kesan pasif yang timbul daripada kenaikan kadar faedah di AS memandangkan nilai perolehan kontraknya kukuh dan permintaan tinggi dari beberapa negara termasuk China dan Malaysia.

Mengenai segmen kenderaan elektrik (EV), Jeffri berkata prospek untuk EV terus berada dalam kedudukan baik di Malaysia dan kumpulan itu akan mempertimbangkan untuk memiliki EV pemasangan tempatan (CKD) dan menjadi antara pengendali pengecasan EV pada masa hadapan apabila tiba masa yang sesuai untuk perniagaan kumpulan itu.

Mengulas mengenai kesan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi kenderaan baharu yang akan berakhir pada 30 Jun 2022, beliau berkata orang ramai ketika ini masih tergesa-gesa membeli kenderaan sebelum tarikh akhir tersebut.

Permintaan jangka pendek akan berlaku kira-kira dua hingga tiga bulan sebelum permintaan kembali stabil semula, katanya.

Pengecualian SST pertama kali diumumkan pada Jun 2020 dan ia dilanjutkan beberapa kali untuk meningkatkan permintaan dalam pasaran automotif tempatan.

Sementara itu, mengenai rancangan untuk menyenaraikan unit penjagaan kesihatannya, Ramsay Sime Darby Health Care Sdn Bhd di Bursa Malaysia, Jeffri berkata pelan itu ditangguhkan memandangkan kumpulan itu sedang melihat pelbagai peluang untuk mengembangkan perniagaan penjagaan kesihatan.

-- BERNAMA