KUALA LUMPUR: Sime Darby Motors melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik sepenuhnya BYD Energy Awaken Atto 3 keluaran BYD ke pasaran Malaysia.

Menurut Pengarah Urusan Sime Darby Motors, Andrew Basham, sebagai pengedar eksklusif rasmi kenderaan BYD di Malayisa, kerjasama dengan syarikat teknologi tinggi itu dijangka dapat memenuhi permintaan kenderaan elektrik (EV) di negara ini.

"Sejajar dengan matlamat kami untuk menjadi pemimpin dalam sektor EV dan mencapai aspirasi EV Malaysia, kami terjua untuk membuka lembaran baharu ini bersama BYD berikutan kejayaan kami di Singapura.

"Dengan RM500 juta yang akan dilaburkan ke arah rancangan perkembangan untuk jenama di sini, ia mencerminkan kepercayaan kami terhadap tarikan universal jenama itu.

"Barisan kenderaan bertaraf dunia BYD yang menampilkan spesifikasi premium pada harga yang menarik dan ini akan membawa perubahan dalam merangsang penggunaan EV di kalangan rakyat Malaysia," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Bandar Malaysia pada Khamis.

Tambahnya, bilik pameran pertama dijangka dibuka pada pertengahan Disember ini di TREC Kuala Lumpur, Jalan Tun Razak.

Manakala tiga lagi bilik pameran jelas Andrew, akan dibuka di Ara Damansara, Pulau Pinang dan Johor menjelang separuh pertama 2023.

Menampilkan lima varian warna, BYD Atto 3 dipacu sepenuhnya kuasa elektrik berasaskan e-platform 3.0 lanjutan BYD.

Kenderaan direka khas sebagai EV berprestasi tinggi, dengan tahap kepintaran, kecekapan dan keselamatan dan estetika yang tiada tandingan.

Dari sudut prestasi, BYD Atto 3 mencatatkan masa 7.3 saat dari pegun sehingga kelajuan 100 kilometer sejam.

Menggunakan teknologi 'Blade Bateri', Atto 3 mampu bergerak sehingga 480 kilometer dengan sekali cas, disamping menampilkan reka bentuk moden dan anggun.