KUALA LUMPUR: Nilai tunai dalam ekonomi negara dilaporkan meningkat meskipun ketika dilanda wabak COVID-19.

Namun apa yang menyekat rakyat Malaysia untuk berbelanja seperti biasa dan memilih untuk menyimpan adalah disebabkan ketidaktentuan ekonomi.

Bagaimanapun menurut Ketua Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, ia akan memberi kesan negatif jika semua memilih untuk membuat simpanan secara kolektif.

“Nilai tunai dalam ekonomi negara sudah meningkat. Jadi isunya adalah, duit ini nak ke mana? Adakah nak dibelanja atau disimpan?

“Jika disimpan, secara kolektifnya, ramai-ramai menyimpan dan itu akan menyebabkan kesan negatif kepada ekonomi kerana ekonomi memerlukan perbelanjaan untuk menggerakkan ekonomi tersebut.

“Justeru, apa boleh saya simpulkan di sini adalah maksudnya tunai dalam ekonomi memang banyak.

“Cuma sekarang ini, yang mengekang mansuia untuk berbelanja seperti biasa adalah disebabkan COVID-19 dan beberapa kekangan lain," jelasnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Khamis.


Kadar wang simpanan ketika pandemik

Tambah beliau, dengan adanya beberapa alternatif lain untuk menggalakkan rakyat supaya berbelanja misalnya dengan kaedah e-dagang, ia tetap tidak dapat memberi kuasa membeli dengan baik.

“Memang betul kita ada e-dagang sebagai alternatif untuk berbelanja, tetapi kita lihat di Amerika Syarikat, peratusan orang guna e-dagang adalah 14.2 peratus.

“Jadi maksudnya, memang betul membeli secara atas talian ini sebagai satu alternatif, tetapi ia masih belum boleh menggantikan cara perbelanjaan seperti biasa,” tambah Afzanizam.

Beliau bercakap sebagai mengulas kajian yang diperoleh di AS ketika ini yang mendapati jumlah simpanan (tunai) dalam kalangan masyarakat semakin banyak sejak pandemik ini dan ini juga apa yang sedang terjadi di Malaysia.