Singapura meratifikasikan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) sekali gus menjadi negara ketiga berbuat demikian selepas Mexico dan Jepun.

Menurut Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura, CPTPP akan berkuat kuasa dalam tempoh 60 hari selepas enam daripada 11 negara meratifikasikannya.

Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Chan Chun Sing berkata CPTPP merupakan perjanjian penting yang akan melengkapkan rangkaian perjanjian perdagangan bebas dua hala sedia ada Singapura.

"Ia akan memperkukuh perdagangan dalam kalangan negara di Asia-Pasifik sekali gus menjadikan aliran barangan, perkhidmatan dan pelaburan lebih lancar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Chan berkata dalam situasi ketegangan perdagangan dan sentimen anti-globalisasi semasa, CPTPP memberi petanda kukuh bagi komitmen Singapura ke arah liberalisasi perdagangan dan sistem perdagangan berasaskan peraturan.

"CPTPP adalah perjanjian terbuka dan terangkum, kami mengalu-alukan pihak yang mempunyai pandangan yang sama menyertai CPTPP selepas ia dikuatkuasakan," katanya.

MTI menjelaskan CPTPP merupakan perjanjian berkualiti tinggi yang akan mengurangkan sekatan pasaran dan menggalakkan perdagangan dalam gabungan pasaran yang mempunyai 500 juta orang dengan Keluaran Dalam Negara Kasar US$10 trilion (US$1=RM4.055).

Perjanjian itu menetapkan peraturan bagi bidang baharu seperti e-dagang, menurut MTI.

Rundingan berkaitan CPTPP telah dimuktamadkan pada 23 Jan, 2018 di Tokyo, Jepun dan ia kemudiannya ditandatangani pada 8 Mac, 2018 di Santiago, Chile, menurut kenyataan tersebut.

-- BERNAMA