Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
BISNES

Singapura naikkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 kepada antara 1.5 hingga 2.5 peratus

Bernama 12/08/2025 | 03:20 MYT
Ekonomi Singapura berkembang 4.4 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2025, meneruskan pertumbuhan 4.1 peratus pada suku sebelumnya. - Gambar hiasan Bernama
SINGAPURA: Singapura menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2025 kepada antara 1.5 hingga 2.5 peratus untuk mencerminkan prestasi ekonomi negara yang lebih baik berbanding jangkaan pada separuh pertama 2025.

Menurut Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI), bagaimanapun, prospek ekonomi bagi baki tempoh tahun ini masih dibayangi ketidaktentuan, dengan risiko cenderung ke arah penurunan.

"MTI akan terus memantau perkembangan ekonomi global dan domestik dengan teliti. Jika perlu, MTI akan membuat pelarasan terhadap unjuran jika perlu," tambahnya dalam kenyataan mengenai penerbitan Tinjauan Ekonomi Suku Kedua 2025 Singapura hari ini.

Ekonomi Singapura berkembang 4.4 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2025, meneruskan pertumbuhan 4.1 peratus pada suku sebelumnya.

Bagi separuh pertama 2025, pertumbuhan KDNK adalah sebanyak 4.3 peratus tahun ke tahun.

Pertumbuhan KDNK pada suku kedua 2025 didorong terutamanya oleh sektor perdagangan borong, pembuatan, kewangan dan insurans, serta pengangkutan dan penyimpanan.

Sektor perdagangan borong serta pengangkutan dan penyimpanan mendapat manfaat daripada aktiviti pembelian awal di rantau ini menjelang pelaksanaan langkah tarif oleh Amerika Syarikat.

Dari segi pertumbuhan tahunan, MTI menjelaskan pada Mei, pihaknya mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 antara 0.0 hingga 2.0 peratus berikutan kemungkinan kesan terhadap ekonomi utama dunia susulan pengumuman tarif AS pada April.

Bagaimanapun, sejak itu, prestasi kebanyakan ekonomi maju dan serantau telah menunjukkan daya tahan yang lebih baik daripada jangkaan, memandangkan penangguhan selama 90 hari oleh AS bagi pelaksanaan tarif balasnya telah melambatkan kemungkinan kesan negatif terhadap ekonomi.

Pertumbuhan ekonomi Singapura dijangka perlahan pada separuh kedua 2025 berbanding pada separuh pertama disebabkan prestasi yang lebih lemah dalam sektor berorientasi eksport.

Ini khususnya, kadar pertumbuhan sektor pembuatan yang dijangkakan rendah pada suku-suku akan datang apabila langkah tarif oleh AS memberi tekanan terhadap permintaan di pasaran akhir global.

-- BERNAMA




#Singapura #KDNK Singapura #tarif Amerika Syarikat #prestasi ekonomi Singapura