KUALA LUMPUR:Pasaran ekuiti tempatan meneruskan trend menurun hari ini dengan indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 1.32 peratus untuk ditutup pada paras rendah seharian.

Daripada jumlah saham indeks konstituen, 26 berada dalam zon merah berikutan ketidakpastian yang semakin ketara berhubung pemulihan ekonomi di dalam dan luar negara.

Ketika ditutup petang ini, indeks petunjuk utama FBM KLCI merosot 19.91 mata kepada 1,489.56 daripada 1,509.47 ketika ditutup semalam.

Indeks dibuka pada 1,509.24 sebelum bergerak antara 1,489.56 dan 1,510.35 sepanjang hari.

Untuk pergerakan harga keseluruhan pasaran, ia menyaksikan kaunter untung berjumlah 637 - terutamanya kaunter pasaran ACE sementara kaunter rugi sebanyak 373 manakala 416 kaunter tidak berubah, 698 tidak diniagakan dan 20 lain digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 5.25 bilion saham bernilai RM3.60 bilion berbanding 6.02 bilion saham bernilai RM3.80 bilion semalam.

Seorang penganalisis berkata sementara pasaran global terus berada dalam mod tidak menentu berikutan kebimbangan yang kian meningkat terhadap kes COVID-19 dan keputusan Presiden AS Donald Trump menghentikan perbincangan bantuan rangsangan, pasaran tempatan pula kekurangan tarikan kerana ketiadaan sebarang pemangkin pada masa ini.

"Malaysia berada dalam keadaan yang sukar kerana ia berhadapan dengan kemunculan semula COVID-19 dengan negara terus mencatatkan jumlah kes yang tinggi sejak beberapa hari ini.

"Walaupun Perdana Menteri telah menghapuskan kebimbangan berlakunya satu lagi perintah kawalan pergerakan, kedudukan ekonomi masih lagi berhadapan dengan tekanan," kata beliau.

Sementara itu, dalam keadaan sekarang, paras 1,500 akan muncul kembali dengan paras sokongan semerta pada 1,480, diikuti oleh 1,450 sementara paras halangan semerta ialah 1,520, diikuti oleh 1,540.

Kaunter berwajaran tinggi hari ini mengalami tekanan jualan, didahului oleh Petronas Chemicals dan Tenaga Nasional yang masing-masing menyusut 30 sen kepada RM5.70 dan RM10.24 sementara Public Bank turun 26 sen kpada RM15.58, Petronas Gas jatuh 28 sen kepada RM16.10 dan IOI Corporation berkurangan 12 sen kepada RM4.27.

Walaupun petunjuk utama mempamerkan prestasi yang lebih rendah, pasaran turut menyaksikan pasaran ACE mendapat daya tarikan daripada pelabur runcit apabila ia meningkat 2.53 peratus kepada 10,502.00.

Saham paling untung, Prolexus menambah 37 sen kepada RM1.62, Supermax melonjak 35 sen kepada RM9.58 dan Kumpulan Powernet lebih tinggi sebanyak 23 sen kepada RM3.30.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 89.68 mata kepada 10,788.31, Indeks FBM Emas Shariah turun 88.38 mata kepada 12,902.12, FBM 70 meningkat 32.93 mata kepada 14,272.80 manakala Indeks FBMT 100 jatuh 98.96 mata kepada 10,607.54.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 146.73 mata kepada 12,303.14, sementara Indeks Perladangan merosot 76.03 mata kepada 6,887.55, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lemah 1.66 mata kepada 137.89.

Jumlah dagangan merosot kepada 618.34 juta unit bernilai RM150.09 juta daripada 696.22 juta unit bernilai RM182.44 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menyusut kepada 1.31 bilion saham bernilai RM498.90 juta daripada 2.48 bilion saham bernilai RM929.56 juta pada Selasa.

Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 1.20 bilion saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (665.42 juta), pembinaan (408.58 juta), teknologi (222.29 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (32.65 juta), hartanah (105.27 juta), perladangan (67.99 juta), REIT (7.03 juta), dana tertutup (7,300), tenaga (125.49 juta), penjagaan kesihatan (101.36 juta), telekomunikasi dan media (294.49 juta), pengangkutan dan logistik (69.06 juta) dan utiliti (16.57 juta).

-- BERNAMA