[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Bukit Aman Ambil Alih Siasatan – Ikuti Perkembangan Di Sini
BISNES

SME Bank perkasa 5,735 usahawan, catat pertumbuhan tahunan 158% pada 1H 2025

Harits Asyraf Hasnan 11/08/2025 | 05:03 MYT
Prestasi mencerminkan komitmen SME Bank dalam menyokong Rangka Kerja Pengukuran Prestasi (PMF) Bank Negara Malaysia serta kerangka ekonomi MADANI kerajaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: SME Bank mencatatkan prestasi cemerlang bagi separuh pertama tahun ini dengan memperkasa seramai 5,735 usahawan, peningkatan sebanyak 158 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim berkata, pencapaian itu adalah hasil pelaksanaan inisiatif pembangunan kapasiti melangkaui pembiayaan yang dilaksanakan melalui Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR).

“Prestasi ini mencerminkan komitmen SME Bank dalam menyokong Rangka Kerja Pengukuran Prestasi (PMF) Bank Negara Malaysia serta kerangka ekonomi MADANI kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara program utama yang menyumbang kepada pencapaian itu ialah Program Maju Usahawan MADANI, yang telah memberi manfaat kepada 1,632 usahawan mikro termasuk daripada komuniti Bumiputera, belia, luar bandar, B40, Asnaf, warga emas dan golongan kurang upaya.

SME Bank turut menerima pengiktirafan serantau apabila CEDAR dilantik sebagai Pusat Kecemerlangan ASEAN bagi PMKS dalam Peralihan Hijau, selaras dengan keutamaan ekonomi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Dalam usaha memperkasa usahawan secara inklusif, SME Bank melaksanakan pelbagai program strategik termasuk Program Pembangunan Keusahawanan Halal yang telah menyokong lebih 400 peserta sejak 2023, serta Program Pembangunan Kapasiti Vendor yang melibatkan 109 vendor dengan insentif berjumlah RM15.87 juta.

Selain itu, Program Eksport Perniagaan yang dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan MATRADE telah menjana jualan eksport bernilai RM191.93 juta melalui penglibatan 98 syarikat.

Program padanan perniagaan SME Bank XCESS pula berjaya menjana sekitar RM178 juta jualan pada 2024, melibatkan 450 peserta dan 24 pembeli antarabangsa dari 12 negara.

Sementara itu, program pemerkasaan usahawan Asnaf, iTEKAD ISHRAF, mencatatkan impak positif dengan peningkatan jualan sebanyak 126 peratus bernilai RM19.25 juta, serta mewujudkan 182 peluang pekerjaan baharu.

Sejak penubuhannya pada 2005, SME Bank telah menyalurkan lebih RM46 bilion pembiayaan kepada lebih 24,000 PKMS dan membangunkan kira-kira 88,000 usahawan melalui CEDAR.



#SME Bank #perkasa usahawan #Hardee Ibrahim #Cedar