Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) berjaya menerbitkan Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana dengan Jaminan Kerajaan (IMTN) berjumlah RM600 juta pada 22 Mac 2019.

Ia diterbitkan di bawah prinsip wakalah dengan komoditi sebagai aset dasar.

“Ia merupakan terbitan kelima daripada Program IMTN bernilai RM3.0 bilion. Hasil daripada terbitan sukuk ini akan digunakan untuk membiayai modal kerja berlandaskan Syariah untuk usahawan PKS,” kata Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Aria Putera Ismail.

Bank itu dalam kenyataannya berkata permintaan yang tinggi membolehkannya mendapatkan beberapa pelabur utama untuk menutup rundingan terbabit dengan harga kompetitif di antara mata asas 45 dan 31 melebihi bon kerajaan Malaysia dalam panduan harga rundingan pertengahan.

“Pihak bank telah berjaya mengukuhkan harga rundingan seiring dengan permintaan yang menggalakkan daripada institusi kewangan dan syarikat pengurusan aset.

"Ini membuktikan sokongan padu oleh kerajaan yang berlandaskan penekanan untuk memudahkan agenda sosioekonomi SME Bank dalam membangunkan sektor PKS.

“Selain itu, RAM Ratings juga telah mengesahkan semula Penarafan Institusi Kewangan AAA/Stabil/P1 ke atas SME Bank dan ini menunjukkan keyakinan penuh kerajaan terhadap SME Bank dalam memainkan peranan memupuk dan membangunkan PKS,” katanya.

Tambah Aria sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan, SME Bank komited untuk memenuhi dan memberi bantuan pembiayaan bagi pembangunan usahawan PKS yang tidak atau kurang mendapat bantuan seperti yang dimandatkan oleh kerajaan melalui program transformasi digitalnya.

Sehingga kini, SME Bank telah meluluskan pembiayaan lebih daripada RM29 billion kepada lebih 17,000 orang pelanggan.

Selain kemudahan pembiayaan, inisiatif Upward Migration di bawah program Intervensi Spesifik SME Bank telah memanfaatkan lebih 1,200 orang usahawan PKS sekali gus melahirkan lebih ramai usahawan yang mampan di Malaysia.

SME Bank melalui anak syarikat milik penuhnya Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR) juga berjaya melatih lebih 36,000 peserta sejak penubuhannya pada tahun 2013 dan bertindak sebagai pelengkap kepada peranan SME Bank dalam meningkatkan keupayaan dan pembangunan PKS.