KUALA LUMPUR: Pengendali perkhidmatan perkongsian kereta, SOCAR, secara rasmi mengumumkan penamatan operasinya di Malaysia berkuat kuasa 31 Ogos ini, lapor Amanz.
Bagaimanapun, syarikat itu tidak menjelaskan secara terperinci punca di sebalik keputusan tersebut.
SOCAR memulakan operasi komersial di Malaysia pada 2018 sebelum mengembangkan perniagaannya menerusi pelancaran beberapa perkhidmatan mobiliti lain.
Susulan pengumuman itu, syarikat berkenaan meminta pengguna yang masih mempunyai baki dalam dompet digital SOCAR Wallet menghubungi bahagian khidmat pelanggan bagi urusan pemulangan wang.
SOCAR turut memaklumkan fungsi tambah nilai dompet digital berkenaan telah dihentikan berkuat kuasa hari ini, manakala proses pemulangan baki akan dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan syarikat.
Meskipun perkhidmatan perkongsian kereta SOCAR ditamatkan, platform TREVO akan terus beroperasi seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
Untuk rekod, SOCAR Malaysia melancarkan TREVO pada 2020 sebagai alternatif perkhidmatan mobiliti kepada pengguna tempatan.
Berbeza dengan SOCAR yang mengendalikan armada kenderaannya sendiri, TREVO menggunakan model perniagaan berasaskan rakan ke rakan (peer-to-peer atau P2P), yang membolehkan pemilik kenderaan menyewakan kereta mereka kepada pengguna lain.
Model itu membolehkan pemilik kenderaan menjana pendapatan sampingan, selain menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna yang memerlukan perkhidmatan sewaan kenderaan.