BISNES
Sokongan ASEAN penting bagi pelaksanaan ACCF - CEO Bursa
Inisiatif yang dibangunkan dalam tempoh singkat antara 12 hingga 18 bulan itu disasarkan untuk dilaksanakan secara menyeluruh, merangkumi pembangunan metodologi, kesalingoperasian serta perbincangan bagi menggubal dasar pada fasa seterusnya.
KUALA LUMPUR: Sokongan daripada negara anggota ASEAN sangat penting bagi memastikan kejayaan pelaksanaan Kerangka Karbon Bersama ASEAN (ACCF), kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia Datuk Fad'l Mohamed.
Beliau berkata inisiatif yang dibangunkan dalam tempoh singkat antara 12 hingga 18 bulan itu disasarkan untuk dilaksanakan secara menyeluruh, merangkumi pembangunan metodologi, kesalingoperasian serta perbincangan bagi menggubal dasar pada fasa seterusnya.
"Bagi menjayakan inisiatif berkenaan, kami memerlukan tahap sokongan tertentu daripada ASEAN.
"Objektif seterusnya ialah mendapatkan persetujuan setiap negara anggota, melaksanakannya secara terperinci, membangunkan metodologi, membincangkan kesalingoperasian dan aspek berkaitan dasar pada fasa yang seterusnya," katanya.
Fad'l berkata demikian semasa sesi perbincangan panel bertajuk Pembangunan Kemampanan Rentas Sempadan Serantau melalui ACCF, Grid Tenaga ASEAN (APG) dan Pembayaran Rentas Sempadan pada Forum Indo-Pasifik-ASEAN (AIPF) 2025, di sini hari ini.
Sesi itu turut disertai Pengarah Eksekutif ASEAN Centre for Energy (ACE) Datuk Abdul Razib Dawood serta CEO dan Pengasas Bersama DANA Indonesia Vince Iswara.
Fad'l yang juga Timbalan Presiden Kuala Lumpur Business Club berkata kemajuan ACCF setakat ini banyak digerakkan oleh sektor swasta melalui kerjasama lima persatuan yang menandatangani memorandum kerjasama bagi memacu inisiatif itu ke peringkat seterusnya.
Beliau berkata inisiatif tersebut mencerminkan aspirasi bersama rantau ini untuk mencapai matlamat sifar bersih serta meningkatkan kecairan pasaran karbon melalui kesalingoperasian antara negara ASEAN.
"Saya yakin inisiatif ini akan diteruskan meskipun selepas tempoh Kepengerusian ASEAN Malaysia berakhir, memandangkan semua negara anggota mempunyai kepentingan yang sama bagi memastikan kejayaannya," katanya.
Menurut beliau kerjasama dengan rakan lain juga akan berlaku secara semula jadi seiring perkembangan pasaran karbon dan pelancaran projek baharu.
Sementara itu, Abdul Razib berkata negara anggota ASEAN bersetuju untuk melaksanakan memorandum persefahaman baharu yang dipertingkat bagi Grid Tenaga ASEAN (APG) susulan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) baru-baru ini.
"Kesemua 10 negara ASEAN bersetuju untuk beralih ke fasa pelaksanaan. Mereka akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi meneliti cabaran peraturan rentas sempadan, isu teknikal serta aspek komersial," katanya.
Abdul Razib berkata pasukan itu akan memainkan peranan utama dalam pembentukan kerangka peraturan dan reka bentuk pasaran masa hadapan bagi APG, disokong oleh bank pembangunan pelbagai hala serta pembiaya swasta di bawah Inisiatif Pembiayaan APG.
Langkah tersebut mencerminkan komitmen politik baharu ASEAN untuk mempercepat pelaksanaan projek grid tenaga serantau yang telah lama dibincangkan, melalui pendekatan yang terselaras dan berasaskan peraturan, kata beliau.
-- BERNAMA