BISNES

SpaceX catat untung hampir AS$8 bilion, bakal lancar IPO terbesar tahun ini

Agensi 31/01/2026 | 00:20 MYT
Syarikat aeroangkasa milik Elon Musk, SpaceX dilaporkan meraih keuntungan hampir AS$8 bilion tahun lalu, hasil daripada pendapatan sekitar AS$15 bilion hingga AS$16 bilion. - Gambar fail Reuters
NEW YORK: SpaceX dilaporkan meraih keuntungan hampir AS$8 bilion tahun lalu, hasil daripada pendapatan sekitar AS$15 bilion hingga AS$16 bilion.

Perkembangan itu sekali gus memberikan gambaran kukuh mengenai kedudukan kewangan syarikat aeroangkasa milik bilionair Elon Musk, yang dijangka melancarkan penyenaraian awam (IPO) terbesar di dunia pada tahun ini.

Prestasi kewangan terbaharu syarikat itu dilaporkan mendorong beberapa institusi kewangan membuat unjuran bahawa SpaceX mampu mengumpul lebih AS$50 bilion, dengan nilai pasaran berpotensi melebihi AS$1.5 trilion apabila IPO dilancarkan.

Pada masa sama, syarikat itu turut dilaporkan sedang mempertimbangkan penggabungan dengan firma kecerdasan buatan milik Musk, xAI, sebelum memasuki pasaran saham.

Keuntungan yang dicatatkan SpaceX berdasarkan kiraan EBITDA, didorong terutamanya oleh pertumbuhan pesat Starlink - rangkaian internet satelit yang kini menyumbang antara separuh hingga hampir keseluruhan pendapatan syarikat.

Sejak 2019, SpaceX telah melancarkan lebih 9,500 satelit Starlink dan menjadi pengendali satelit terbesar dunia, dengan lebih sembilan juta pengguna global.

Selain langganan Starlink, pendapatan turut dijana melalui kontrak kerajaan bagi perkhidmatan internet satelit serta pembangunan rangkaian satelit ketenteraan Starshield.

Pendapatan ini memainkan peranan penting dalam pembiayaan pembangunan Starship, roket generasi baharu yang direka untuk menghantar satelit Starlink yang lebih berkuasa ke orbit.

Dalam usaha memperluas pasaran, SpaceX turut membeli hak spektrum bernilai AS$19 bilion daripada EchoStar bagi membolehkan Starlink memasuki pasaran komunikasi terus-ke-peranti (direct-to-device), membolehkan telefon pintar berhubung terus dengan satelit tanpa memerlukan terminal Starlink.

Menurut sumber industri, SpaceX merancang melancarkan IPO terbesar di dunia menjelang ulang tahun kelahiran ke-55 Musk pada 28 Jun depan, dengan pasaran menjangkakan ia bakal menjadi penyenaraian yang paling ditunggu-tunggu dalam dekad ini.

Musk turut menjangkakan roket gergasi Starship yang telah melalui 11 ujian pelancaran sejak 2023 akan mula membawa muatan komersial ke angkasa tahun ini.

Beliau berharap roket itu akhirnya dapat digunakan untuk melancarkan pusat data kecerdasan buatan berasaskan angkasa, yang menjadi sebahagian daripada cadangan strategik penggabungan SpaceX dengan xAI.

Perkembangan ini menandakan satu lagi fasa penting dalam aspirasi Musk untuk mendominasi sektor roket, satelit, internet global dan teknologi kecerdasan buatan, sekaligus memperkukuh kedudukan SpaceX sebagai salah satu syarikat teknologi paling berpengaruh di dunia. - Agensi



#SpaceX #untung SpaceX #IPO #Elon Musk