BISNES

Standard Chartered disaman di Singapura berhubung dakwaan aliran dana 1MDB

Bernama 02/07/2025 | 00:40 MYT
Standard Chartered dalam satu kenyataan pada Selasa menegaskan ia menolak sekeras-kerasnya semua tuntutan yang dibuat oleh syarikat-syarikat berkenaan. - Gambar hiasan/REUTERS
SINGAPURA: Penyelesai memfailkan saman untuk mendapatkan semula lebih US$2.7 bilion daripada Standard Chartered Singapura berhubung dakwaan penyelewengan dana berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

The Straits Times (ST) melaporkan saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi pada Isnin oleh penyelesai yang dilantik mahkamah daripada firma perkhidmatan kewangan Kroll, bagi menuntut bank itu bertanggungjawab atas peranannya yang didakwa membolehkan penipuan terhadap 1MDB serta kecurian sistematik dana awam.

Tiga syarikat dalam proses pembubaran yang dikaitkan dengan 1MDB mendakwa bahawa antara 2009 dan 2013, Standard Chartered membenarkan lebih 100 pemindahan dalaman antara bank yang membantu menyembunyikan aliran dana yang dicuri, selain memilih untuk mengabaikan amaran yang jelas berkaitan transaksi terbabit.

Menurut tuntutan saman itu, bank berkenaan telah melanggar peraturan anti-pengubahan wang haram (AML) Singapura dan peraturan penilaian wajar pelanggan, menurut laporan ST.

Ia juga mendakwa bahawa ketiga-tiga syarikat berkenaan -- Alsen Chance Holdings, Blackstone Asia Real Estate Partners, dan Brightstone Jewellery -- telah kehilangan lebih US$2.7 bilion dan S$20 juta dana awam.

Standard Chartered dalam satu kenyataan pada Selasa menegaskan ia menolak sekeras-kerasnya semua tuntutan yang dibuat oleh syarikat-syarikat berkenaan.

Bank itu berkata penyelesai yang membawa tuntutan telah secara terbuka menyatakan bahawa syarikat-syarikat berkenaan adalah syarikat tersedia tanpa operasi perniagaan sah dan mempunyai kaitan dengan individu dalam buruan Low Taek Jho serta rakannya Eric Tan.

"Mereka beroperasi di bawah penyamaran palsu dan menjadi saluran untuk dana yang diseleweng daripada 1MDB bagi tujuan pengubahan wang haram.

"Sebarang tuntutan oleh syarikat-syarikat ini tidak berasas dan Standard Chartered akan mempertahankan sebarang saman daripada penyelesai," menurut kenyataan itu sambil menambah bahawa transaksi yang dipersoalkan berlaku sejak 2010.

Bank itu menjelaskan bahawa pihaknya telah melaporkan aktiviti transaksi syarikat-syarikat terlibat, sebelum dan semasa akaun mereka ditutup pada awal 2013, selain memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa penyiasatan.

Ia turut memaklumkan bahawa seperti yang dinyatakan dalam kenyataan media Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) pada 2016 mengenai penalti yang dikenakan terhadap Standard Chartered berhubung pelanggaran AML berkaitan 1MDB, MAS telah menyelesaikan pemeriksaannya terhadap bank itu berkaitan aliran dana 1MDB.

"Walaupun MAS mengenal pasti pelanggaran peraturan, pemeriksaan berkenaan tidak menemui kelemahan kawalan secara meluas atau salah laku disengajakan di Standard Chartered," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

#1MDB #Singapura #saman #Kroll #Standard Chartered